Sejarah aksi JDT-Kelantan ditangguh jadi sebab ramai 'back up' pendirian Selangor


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

MFL pernah memberi kelonggaran buat skuad Harimau Selatan yang mahu meraikan kejayaan mereka pada 2018.

KEPUTUSAN tegas diambil Selangor FC yang enggan hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk berdepan skuad Harimau Selatan bagi aksi Piala Sumbangsih dan perlawanan pertama Liga Super yang dijadualkan berlangsung Jumaat ini.

Tindakan berkenaan diambil selepas beberapa insiden keganasan melibatkan pemain kebangsaan, termasuk tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah ternama.

Kenyataan dibuat kelab Lembah Klang itu menerima respons, termasuk daripada Johor Darul Ta'zim (JDT) yang menjelaskan kekecewaan mereka atas tindakan lawan mereka.

BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?

BACA LAGI: 'Show must go on', TMJ buka mulut lepas Selangor tarik diri dari Piala Sumbangsih

WhatsApp Image 2024-05-09 at 14.07.07

Skuad Gergasi Merah mengambil pendirian tegas atas faktor keselamatan.

Ini kerana jaminan sudah dibuat juara Liga Super berkenaan yang menyediakan seramai 1,500 anggota polis untuk mengawal keadaan selain memastikan keselamatan pemain dan staf kelab.

Bagaimanapun, Selangor FC masih bertegas dengan pendirian mereka untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim dengan keputusan itu menerima sokongan khalayak.

Malah, penyokong turut beranggapan pendekatan itu cukup baik memandangkan JDT sendiri pernah membuat keputusan menangguhkan aksi beberapa tahun lalu.

Perubahan itu dibuat pada 2018 selepas skuad Harimau Selatan membuat permohonan kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk tidak bermain menentang Kelantan FC dalam pertemuan Liga Super di Stadium Larkin, Johor.

Alasan diberikan badan pengelola liga adalah kerana skuad Harimau Selatan mahu meraikan kejayaan selain mahu menghadiri acara penyerahan trofi.

440931772_1012090220286954_3636386073324543074_n

Skuad Harimau Selatan menyatakan kekecewaan mereka atas pendirian Selangor FC. Facebook/JOHOR Southern Tigers

"Perkara ini turut mendapat sokongan serta reaksi positif pasukan-pasukan lain yang bertanding di dalam Liga Super Malaysia," kata MFL dalam kenyataan bertarikh 12 Julai 2018.

Perubahan berkenaan menyaksikan aksi yang sepatutnya berlangsung pada 17 Julai diadakan tiga hari kemudian dengan rata-rata pengguna media sosial jelas berang dengan pengumuman sedemikian.

Kejadian itu kemudiannya menjadi alasan rata-rata penyokong untuk meminta MFL agar memberikan keringanan terhadap Selangor FC yang enggan beraksi dalam Piala MFL.

Berdasarkan khabar angin semasa, skuad Gergasi Merah akan dipotong mata selain menanggung kekalahan dalam perlawanan pembukaan di tempat lawan.

Namun, tindakan dikenakan itu tidak menerima respons negatif daripada penyokong mereka sendiri yang berpuas hati dengan pendirian tegas pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram