USAHA Kelantan FC untuk menyertai saingan Liga A1 Semi Pro masih belum dimuktamadkan kerana kelab Pantai Timur itu masih belum menyelesaikan proses pendaftaran pemain.
Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fikri berkata, pihaknya sudah memberikan talian hayat baharu buat skuad The Red Warriors (TRW), namun masih belum mendapat sebarang perkembangan setakat ini.
"Kalau diikutkan, Kelantan FC sebelum ini diberikan tarikh sehingga 8 Mei lalu untuk mendaftarkan minimum 20 pemain. Namun, terdapat perbincangan untuk meminta sedikit penangguhan dengan membawa bukti mereka sedang berusaha.
"Jadi, dengan kepercayaan diberikan, AFL memberi tempoh sehingga Selasa (14 Mei) untuk mengambil tindakan seperti mana diminta sebelum ini," katanya.
BACA LAGI: Turun ke M3 antara jalan terakhir bantu Kelantan FC kembali ke landasan pada 2024
BACA LAGI: Kemarahan mula reda, tapi fans TRW ada 5 mesej penting buat Kelantan FC
Raimi mengumumkan usaha Kelantan FC untuk menyertai Liga A1 Semi Pro musim ini masih belum berjaya. — Stadium Astro
Beliau berkata demikian ketika Majlis Perasmian Bola Rasmi Liga A1 Semi Pro tajaan Kelme di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Selangor pada Isnin.
Skuad The Red Warriors (TRW) sebelum ini membuat permohonan untuk menyertai saingan Liga A1 Semi Pro berikutan kegagalan menyertai Liga Super 2024/25 akibat isu tunggakan gaji.
Bagaimanapun, urusan itu masih belum selesai dengan kekurangan pemain yang memilih untuk menyertai pasukan lain dalam divisyen teratas bola sepak tanah air.
Tambah Raimi lagi, ketiadaan kelab Pantai Timur itu tidak akan memberi kesan terhadap penganjuran liga berkenaan meskipun jumlah peserta akan menjadi ganjil.
"Kita sememangnya bersedia kerana sebelum kita umumkan 16 pasukan, kita sudah tahu risiko dan kita tahu implikasi daripada pengumuman itu.
"Ini kerana sebelum ini, kita pernah menjalankan pertandingan dengan sebanyak 20 pasukan. Jadi, bagi kita, 15 atau 16 pasukan tidak ada masalah," katanya lagi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram