SOLIDARITI dizahirkan di mana-mana saja buat pemain bola sepak kebangsaan, Faisal Halim yang kini cedera akibat disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada 5 Mei di Damansara, Selangor.
Bintang Selangor FC itu mengalami lecur tahap empat selepas disimbah oleh asid sulfurik pekat dan perlu berehat panjang sebelum dapat beraksi semula.
Nasib malang menimpa pemain handalan negara itu nyata menyedihkan setiap penyokong Harimau Malaya. Doa dan kata-kata semangat dititipkan buat Faisal di mana-mana saja terutamanya di media sosial.
BACA LAGI: ‘Kenapa nak tutup mulut Faisal Halim semata-mata jadi jujur?’
Solidariti untuk Faisal dizahirkan di salah sebuah papan iklan dekat Shah Alam.
Selain sokongan moral menerusi media sosial, terdapat juga usaha ditonjolkan oleh penyokong dengan menaikkan kain rentang dengan kata-kata semangat diberikan buat pemain berasal dari Mengkuang Titi, Pulau Pinang tersebut.
Salah satunya adalah di lokasi tempat Faisal menerima rawatan, dalam kain rentang tersebut tertera mesej, "ingatan dan doa Malaysia bersama FH7 (Faisal Halim) sekeluarga."
Malah, ada juga papan iklan di Shah Alam yang turut memaparkan mesej, "teguh bersama Faisal Halim, hentikan keganasan" dalam bahasa Inggeris.
Solidariti itu berkembang sehingga ke Kedah. Di Sungai Petani, terdapat sebuah kain rentang yang digantung dekat salah sebuah jejantas di kawasan itu.
"Doa untuk Faisal Halim," itulah mesej ringkas yang tertera.
Kelibat kain rentang di hadapan Hospital Sungai Petani. Satu Malaysia doakan untuk Faisal, Satu Malaysia bersoladiriti untuk Faisal. Kecuali Selatan Papua. pic.twitter.com/5u1KBIcLhP
— Amirul (@BartsAms) May 9, 2024
Asia Tenggara bersatu
Berita sedih yang menimpa Faisal mendapat liputan sehingga ke luar negara. Disebabkan itu, solidariti turut dizahirkan oleh jiran tetangga Malaysia demi bintang Harimau Malaya itu.
Laman rasmi seperti FA Thailand (FAT), Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) serta FA Singapura (FAS) tidak ketinggalan untuk mengucapkan selamat buat Faisal.
BACA LAGI: Faisal tiada musuh, sama macam saya — Bapa
Jelas sekali, mereka turut bersedih di atas insiden buruk yang berlaku hingga menjejaskan salah seorang pemain terbaik di rantau ini.
Kita mungkin musuh ketat di padang, tetapi apabila wisel penamat ditiupkan, semuanya adalah 'adik-beradik' yang menjadikan Asia Tenggara itu istimewa.
Selain daripada Asia Tenggara, perkhabaran mengenai Faisal turut sampai ke beberapa negara lain seperti Korea Selatan dan Sepanyol. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram