Sukar cari ganti, Farizal Marlias, Ifwat Akmal antara 6 senior paling setia sebelum tirai Liga Super 2024/25


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Dari kiri: Farizal, Azam dan Ifwat antara pemain senior yang masih setia bersama pasukan masing-masing musim depan.

KURANG satu hari lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia (Liga M) dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada Jumaat nanti.

Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat sang juara.

Banyak pasukan sedang melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import baharu daripada pelbagai benua dengan ada di antara mereka baru pertama kali beraksi dalam Asia Tenggara.

BACA LAGI: Kuda tua berbisa, JDT antara 3 pasukan hargai pemain otai musim depan

BACA LAGI: Magis 2022, kehilangan Bergson-Roonie jadi 4 momen getir pertembungan epik JDT-Selangor

Namun apa lebih menarik, Liga Super masih mempunyai pemain-pemain yang setia beraksi bersama kelab masing-masing sehingga ada yang berkhidmat hampir 10 tahun.

Majoriti senaraikan enam pemain tempatan yang masih setia bersama pasukan dalam Liga Super 2024/25:

1. Mohd Farizal Marlias (Sejak 2014) - Johor Darul Ta'zim

Farizal Marlias memulakan perjalanan karier profesionalnya bersama Shahzan Muda sebelum berjaya menarik minat Perlis FA untuk menjadikannya penjaga gol utama Singa Utara pada 2008.

Cemerlang bersama Perlis FA, Farizal menyertai Negeri Sembilan sebagai penjaga gol kedua di belakang Mohd Farizal Harun sebelum bangkit dalam kejohanan Piala Malaysia 2011.

Pada 2012, Farizal menyertai Perak di mana dia beraksi sebanyak 19 perlawanan liga dan lima perlawanan Piala Malaysia sebelum Selangor merisiknya untuk memantapkan Gergasi Merah bagi musim 2013.

Pada akhir musim 2014, Harimau Selatan membawa Farizal sebagai penjaga gol utama selepas dia cemerlang menjaga gawang gol Harimau Malaya.

Sehingga kini, Farizal masih lagi berkhidmat untuk JDT sebagai mentor kepada pemain-pemain muda dan Syihan Hazmi supaya berada di kelas tersendiri.

2. Muhammad Khairulazhan Khalid (Sejak 2015 ) - Selangor FC

Perjalanan karier Khairulazhan Khalid boleh dikatakan hampir sama dengan Farizal selepas mereka berdua memulakan karier di usia muda bersama Shahzan Muda sebelum Sri Pahang FC berminat membawa dia ke skuad Tok Gajah pada musim 2013.

Pada 2014, Khairulazhan berjaya memenangi anugerah penjaga gol terbaik selepas membantu Sri Pahang menjuarai Piala FA dan Piala Malaysia di tahun tersebut.

Dengan ketangkasan yang dimiliki bekas penjaga gol kebangsaan itu, Khairulazhan berjaya menarik minat Selangor FC pada akhir 2015 dan dia berjaya kekal bersama Gergasi Merah sehingga hari ini.

Bersama Selangor, Khairulazhan masih belum menjuarai apa-apa trofi dalam kancah Liga Malaysia seperti ketika bersama Sri Pahang sebelum ini.

3. Muhammad Nor Azam Azih (Sejak 2015) - Sri Pahang FC

Mungkin Sri Pahang merupakan pasukan kesayangan Nor Azam Azih selepas dia tidak pernah meninggalkan pasukan itu sejak Harimau Muda B dibubarkan pada 2015.

Ada banyak khabar angin mengaitkan Azam Azih dengan beberapa pasukan gergasi Liga M, tetapi pemain berusia 29 tahun itu mahu kekal bersama Tok Gajah.

Hampir sedekad bersama Tok Gajah, Azam Azih menjuarai Piala FA 2018 dan pengalaman beraksi di pentas antarabangsa bersama Harimau Malaya serta Harimau Muda.

Musim depan, Azam Azih masih kekal setia bersama Sri Pahang dengan menggayakan jersi bernombor 20 di atas lapangan.

Amirul-Ifwat

Amirul (kanan) dan Ifwat (kiri) mewakili Kedah sejak 2016.

4. Mohd Ifwat Akmal & Amirul Hisyam Kechik (Sejak 2016) - Kedah Darul Aman FC

Ifwat Akmal dan Amirul Hisyam merupakan anak jati Kedah yang telah bersama pasukan itu selama lapan tahun meskipun Sang Kenari terpalit dengan pelbagai isu masalah dalaman.

Kedua-dua pemain ini masih kekal setia bersama Kedah dan merekodkan kejuaraan seperti Piala FA, Piala Malaysia dan Piala Sumbangsih.

Musim ini merupakan tahun kelapan Ifwat Akmal dan Amirul Hisyam bersama Sang Kenari yang menyaksikan mereka antara pemain senior dalam pasukan Kedah di bawah kendalian Nafuzi Zain.

5. Paulo Josue (Sejak 2017) - Kuala Lumpur City FC

Paulo Josue boleh diberi kredit sebagai legenda Kuala Lumpur City FC selepas dia berkhidmat dengan pasukan itu sejak 2017 daripada kelab Brazil, Votuporanguense.

Bukan sahaja menetap lama di Kuala Lumpur, Josue juga telah dinaturalisasikan oleh pihak pengurusan The City Boys selepas pemain berusia 35 tahun itu menepati syarat Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mewakili skuad kebangsaan.

Bersama Kuala Lumpur, Paulo telah beraksi dalam 116 perlawanan dengan menjaringkan 39 gol dan 33 'assist' di semua kejohanan yang disertai The City Boys. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram