TAMAT sudah minggu pertama perlawanan Liga Super (LS1) dengan menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) kekal di tempat pertama liga selepas menang tanpa bertanding susulan penarikan diri Selangor FC pada Jumaat lalu.
Ia sekali gus memberikan tiga mata penuh buat Harimau Selatan menerusi kemenangan 'walkover' dengan keputusan tiga jaringan gol.
Bukan JDT sahaja, Terengganu FC (TFC), Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Sri Pahang FC turut mencatatkan keputusan positif apabila berjaya mengutip tiga mata penuh ketika berdepan dengan lawan masing-masing.
BACA LAGI: Sedih menang dengan cara begini — TMJ
BACA LAGI: Heberty Fernandes 'kempunan' aksi Piala Sumbangsih, antara 3 import otai Liga M
JDT mengutip tiga mata penuh menerusi kemenangan 'walkover' dengan keputusan tiga jaringan gol ke atas Selangor. — Facebook/JDT
Manakala Kuala Lumpur City (KL City), Kuching City, Penang FC dan Sabah FC pula hanya mengutip satu mata selepas seri berdepan pasukan lawan.
Negeri Sembilan FC, Kelantan United FC, PDRM FC, Perak FC dan Selangor berada di tangga bawah liga selepas tewas pada perlawanan pembukaan LS1 pada hujung minggu lalu.
Walaupun Liga Super baru membuka tirainya, penyerang Sang Kenari, Syafiq Ahmad menjadi pemain pertama yang merekodkan jaringan terpantas apabila meledak gol kurang daripada seminit sebaik sahaja wisel penamat ditiupkan ketika menewaskan PRDM dengan keputusan 1-0 di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu lalu.
Dalam senarai tujuh jaringan gol pada minggu pertama, hanya dua pemain tempatan berjaya berada dalam senarai penjaring iaitu Paulo Josue (KL City) dan Syafiq Ahmad.
Baki lima pemain lain ialah Luciano Guaycochea (Perak FC), Manuel Hidalgo (Sri Pahang), Nnabuike Chukwu Chijioke, Nurillo Tukhtasinov (TFC) dan Pedro Henrique (Kuching City).
Harimau Kumbang yang dibimbing jurulatih muda, Akmal Rizal Rakhli antara individu paling berani mempertaruhkan pemain-pemain berusia 23 tahun ke bawah dengan menyenaraikan Sikh Izhan dalam kesebelasan utama pasukan pada perlawanan minggu pertama Liga Super.
Manakala tiga pemain lain, Izuddin Asri, Izzat Zikri Iziruddin dan Aikmal Roslan diberi peluang masuk sebagai pemain gantian ketika bertemu Sabah pada Ahad lalu.
Kepercayaan yang diberikan Akmal terhadap pemain muda bukanlah satu kejutan kerana jurulatih berusia 42 tahun itu sebelum ini membimbing skuad Piala Presiden Penang dua musim berturut-turut sebelum dinaikkan pangkat pada tahun lepas.
Pujian harus diberikan kepada Akmal kerana berani menurunkan pemain muda ketika berdepan dengan skuad lebih berkualiti seperti Sabah yang dipenuhi pemain kebangsaan seperti Dominic Tan, Stuart Wilkin, Daniel Ting dan Darren Lok.
Mengikat pasukan lawan di rumah pelawat bukanlah sau keputusan yang buruk untuk skuad yang baharu dibina semula pada musim ini selepas Harimau Kumbang melalui episod yang tidak baik tahun lalu.
Menjadi persoalan adakah Akmal mampu mengulangi corak permainan berkualiti untuk mengutip tiga mata penuh berdepan finalis Piala Malaysia 2023, Terengganu di hadapan penyokong sendiri pada 19 Mei nanti. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram