"PIHAK berkenaan telahpun menurunkan iklannya."
Itulah perkongsian terbaharu anak pelakon legenda tanah air, Datuk Sarimah Ahmad, Shahray Zulkifli, 55, selepas individu yang tidak bertanggungjawab menggunakan nama ibunya bagi mempromosi atau menjual produk makanan kesihatan kepada orang ramai dengan menggunakan testimoni palsu daripada artis veteran tersebut.
Shahray di laman Facebook berkongsi perasaan gembiranya dengan mengucapkan ribuan terima kasih kepada setiap individu yang membantunya untuk menyelesaikan kes penipuan berkaitan ibunya itu.
"Alhamdulillah, bantuan dari rakan rakan semua termasuk dari wartawan, pihak berkenaan telah pun menurunkan iklannya yang mengaitkan perniagaan mereka dengan ibu saya. Terima kasih semua."
BACA LAGI: Bimbang ramai tertipu testimoni palsu di FB, keluarga Sarimah Ahmad buat laporan polis, SKMM
BACA LAGI: Pelakon veteran Sarimah Ahmad jadi mangsa scammer, anak beri tempoh 24 jam sebelum lapor polis
Sebelum ini, Datuk Sarimah Ahmad, 82, menjadi mangsa penipuan dalam talian apabila identitinya diguna pakai oleh pihak tidak bertanggungjawab di laman Facebook baru-baru ini.
Penipuan itu bertujuan bagi mempromosi atau menjual produk makanan kesihatan kepada orang ramai dengan menggunakan testimoni palsu daripada artis veteran tersebut.
Bimbang nama buruk ibunya Sarimah, Shahray telah melakukan dua laporan polis masing-masing di Balai Polis Sungai Petani, Kedah dan Balai Polis Setiawangsa, Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Dakwaan mengatakan ibunya telah sembuh daripada segala penyakit selepas memakan ubat kesihatan itu adalah palsu dan penipuan semata-mata.
Malah, dia turut menjelaskan bahawa ibunya tidak memiliki sebarang akaun media sosial sepanjang bergelar artis tanah air.
Ujarnya, identiti di sebalik akaun Facebook terbabit juga masih belum dikenal pasti.
Dia turut menyatakan terdapat dua tiga akaun Facebook yang menggunakan nama ibunya.
Pada masa sama, Shahray menegaskan bahawa ibunya tidak pernah menggunakan produk makanan kesihatan yang diiklankan akaun tersebut.
Untuk rekod, Sarimah Ahmad sebelum ini mendedahkan dia kini pulih dari kanser kolon atau usus tahap tiga selepas disahkan menghidap penyakit itu pada 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram