PIHAK pengurusan Sri Pahang meluangkan masa menziarahi pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim yang kini di tempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) di sebuah hospital swasta di Shah Alam, Selangor pada Khamis.
Rombongan itu diketuai kerabat Diraja Pahang bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sri Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang dan Pengurus Pasukan Tok Gajah, Datuk Dollah Salleh.
Kehadiran mereka disambut mesra pengurusan pasukan Selangor.
BACA LAGI: RMS sedia tanggung kos perubatan Faisal Halim
BACA LAGI: 'Kecederaan Faisal Halim boleh jejaskan karier bola sepak'
Mohammed Suffian Awang.
Mohammed Suffian ketika ditemui media berkata, kehadiran pengurusan Sri Pahang itu sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi terhadap Faisal yang pernah berkhidmat dengan skuad Tok Gajah.
Bahkan katanya, Faisal yang juga pemain kebangsaan dan Dollah memiliki hubungan erat memandangkan dia pernah dibimbing oleh Dollah sebagai bekas pengendali Harimau Malaya itu semasa di Sri Pahang.
"Kehadiran kami juga sebagai tanda kekeluargaan dan solidariti terhadap komuniti bola sepak tempatan," katanya.
Menurut Mohammed Suffian, berdasarkan panggilan video yang dibuat bersama Faisal, dia menunjukkan peningkatan positif dan keazaman untuk pulih yang sangat tinggi.
Katanya lagi, dia berharap komuniti bola sepak terus mendoakan kesejahteraan pemain sayap Selangor itu.
"Daripada panggilan video yang dibuat kepada kami (pengurusan Sri Pahang) ada 'limitation' untuk dia bercakap.
"Kami juga tak nak ganggu Faisal sebab dia perlukan ruang untuk berehat dan mengelakkan jangkitan dari luar.
"Kami datang sebagai 'gesture' kelab kerana Faisal merupakan bekas pemain sewaktu dia berumur 17 ke 18 tahun, hampir lima tahun bersama Sri Pahang.
"Selaku pemilik Sri Pahang, Tengku Abdul Rahman Al-Haj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah menitahkan kami untuk menziarah Faisal.
"Kami berkesempatan bertanya khabar dan mendoakan yang terbaik dan perkembangannya semakin baik dan dia akan menjalani pembedahan ketiga petang ini (Khamis)," katanya lagi.
Keadaan Faisal selepas disimbah asid pada Ahad lalu.
Tambah Mohammed Suffian, pihak keluarga Faisal ada menerangkan perkembangan semasa pemain berusia 26 tahun itu dengan mendedahkan Tengku Abdul Rahman menganggap bintang Selangor itu sebagai anak didiknya.
"Dia (Faisal) dah macam anak didik. Dah dengan Sri Pahang sejak 17 tahun usianya.
"Kami tidak dibenarkan melawat sebab isu-isu keselamatan dan kesihatan Faisal, tapi Alhamdulillah jumpa dengan isterinya ada menerangkan keadaan Faisal dan kami berharap penyokong untuk mendoakan kesihatan Faisal sebaik-baiknya.
"Hari ini hari terakhir Aidilfitri, Tengku Muda Pahang sebagai pemilik Sri Pahang mengambil berat dan menganggap Faisal sebagai anak didik," katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram