KEMENANGAN penting diraih skuad Sang Kenari dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25 setelah menundukkan PDRM FC dalam aksi di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.
Gol awal daripada Syafiq Ahmad sudah cukup untuk memastikan tiga mata dibawa pulang Kedah Darul Aman (KDA) FC meskipun tuan rumah beberapa kali melancarkan serangan.
Keputusan positif tersebut membantu kelab Utara tanah air tersebut untuk memastikan mereka berada di kedudukan kelapan liga dengan tiada mata diraih berikutan denda dikenakan sebelum ini.
BACA LAGI: Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024
BACA LAGI: Buru tiket AFC, Nafuzi terus hargai pemain KDA FC
Pertembungan Kedah dan Selangor cukup mengujakan musim lalu. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, misi besar menanti pasukan kendalian Nafuzi Zain itu selepas ini dengan Selangor FC bakal menjadi lawan mereka dalam aksi kedua liga.
Melihat kepada dua pertembungan musim lalu, Kedah seakan-akan buntu setiap kali berdepan skuad Gergasi Merah dengan dua kekalahan dialami mereka.
Jadi, tekanan sudah tentu dirasakan skuad Sang Kenari dalam misi meneruskan rentak cemerlang dengan kedudukan lebih berbanding tahun lalu disasarkan pihak pengurusan.
Tetapi, berdasarkan pemerhatian Majoriti, anak-anak buah Nafuzi tidak perlu gentar menghadapi perlawanan itu dengan tiga kelemahan Selangor FC masih boleh diambil peluang.
1. Selangor FC masih belum beraksi
Skuad Gergasi Merah sepatutnya berentap dalam saingan Piala Sumbangsih musim lalu berdepan juara Liga Super, Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi yang dijadualkan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Bagaimanapun, insiden luar padang dialami pemain sayap, Faisal Halim menyaksikan perlawanan itu dibatalkan dengan Selangor FC enggan hadir ke venue ditetapkan.
Jadi, terdapat kemungkinan rata-rata pemain masih belum berada dalam tahap kecergasan terbaik memandangkan kali terakhir kelab Lembah Klang itu beraksi adalah ketika berdepan Young Elephants dalam Selangor Asia Challenge (SAC).
Skuad Sang Kenari meraih keputusan positif ketika berdepan PDRM FC. — Facebook/KDA FC
Kekangan masa tersebut boleh memberi kelebihan buat Kedah yang seperti mana diketahui sudah beraksi dalam perlawanan pembukaan di Stadium Selayang.
Meskipun Selangor FC memiliki kualiti skuad lebih baik, kekurangan minit permainan dialami rata-rata pemain mereka akan membuatkan naib juara Liga Super 2023 itu sedikit 'berkarat'.
Sekiranya Nafuzi dapat mengambil kesempatan atas isu tersebut, tiga mata sudah tentu akan dapat dibawa pulang, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan lebih tinggi.
2. Kelemahan bek sayap
Sepanjang jendela perpindahan lalu, Selangor FC merupakan salah sebuah kelab yang paling banyak berbelanja untuk menyiapkan diri menjelang aksi di pentas Asia.
Tetapi, barisan kejurulatihan memilih untuk tidak menambah baik kualiti bek sayap dengan posisi itu merupakan kelemahan ketara seperti mana dinyatakan penyokong.
Fazly sering membuatkan benteng pertahanan skuad Gergasi Merah goyah. — Facebook/Selangor FC
Usia Fazly Mazlan yang semakin lanjut di samping prestasi tidak menantu Quentin Cheng menyaksikan pihak lawan sering melancarkan serangan setiap kali berdepan skuad Gergasi Merah.
Kelemahan itu perlu diambil perhatian oleh Kedah dengan dua penyerang sayap utama, Sony Norde dan Sukhrob Nurullaev boleh mengucar-ngacirkan benteng pertahanan Selangor.
Bagaimanapun, perancangan tersebut sudah tentu dihidu pengendali skuad Gergasi Merah, Nidzam Jamil yang akan mencari jalan untuk mengelakkan isu sedemikian dialaminya.
3. Pengalaman terhad Nidzam Jamil
Tan Cheng Hoe membuat keputusan mengejut pada tempoh pramusim apabila meninggalkan Selangor FC untuk mencari pengalaman di Thailand bersama Police Tero FC.
Jadi, untuk mengisi kekosongan ditinggalkan, kelab Lembah Klang itu mengambil keputusan melantik Nidzam yang bertahun-tahun memikul tanggungjawab sebagai pembantu jurulatih.
Nidzam masih tidak cukup berpengalaman dalam Liga Super. — Facebook/Selangor FC
Meskipun pengendali muda itu pernah mengendalikan Felda United dalam Liga Super, ia masih belum cukup untuk membuktikan bahawa dia bersedia bersama skuad Gergasi Merah.
Pengalaman terhad berkenaan sudah tentu akan menyaksikan pertembungan itu memihak kepada Kedah dengan Nafuzi sudah bertahun-tahun menimba pengalaman dalam divisyen teratas bola sepak tempatan.
Selain itu, dia yang sudah bersama pasukan tersebut sejak tahun lalu pasti tahu akan kelemahan dan kekurangan perlu diatasi bagi perlawanan akan datang. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram