NAMA penyerang berbisa Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad kembali disebut-sebut selepas dia hanya memerlukan 33 saat sahaja untuk mencetak jaringan dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25 menentang PDRM FC di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.
Dalam perlawanan babak pertama, penyerang pinjaman dari Johor Darul Ta'zim itu berjaya mencetak gol pertama buat Sang Kenari dalam saingan Liga Super musim 2024/25.
Bergandingan bersama penyerang Serbia, Milos Gordic, penyerang berusia 28 tahun itu menceriakan penyokong Kedah dengan meledakkan gol pertama perlawanan, sekali gus menjadi gol kemenangan buat Sang Kenari.
BACA LAGI: Selain Rizal-Saddil, 3 lagi gandingan tempang tercari-cari 'chemistry'
BACA LAGI: Lepas 4 hari pembedahan, kulit dari Belgium sesuai untuk Faisal Halim
Syafiq Ahmad hanya memerlukan dua minit sahaja untuk mencipta semula nama di bumi Kedah. — Facebook/KDAFC
Syafiq menyudahkan hantaran jauh yang dibuat kapten pasukan, Sony Norde untuk menewaskan penjaga gol The Cops, Bryan See.
Menariknya gol Syafiq tersebut, ia merupakan jaringan terpantas yang berjaya dicetak musim ini.
Syafiq berkata, pasukannya melakukan serangan pantas untuk menghukum The Cops, pasukan yang terkenal dengan persembahan cemerlang musim lalu.
“Kami bekerja keras dari awal untuk mendapatkan permulaan yang baik. Ia bukan hanya saya tetapi rakan sepasukan saya memainkan peranan mereka," kata Syafiq.
Syafiq dilihat tidak mengalami kesukaran untuk berganding dengan penyerang lain seperti Gordic, Norde dan pemain sayap Uzbekistani, Sukhrob Nurullaev.
“Ini adalah permulaan yang terbaik untuk kami, jadi kami berharap kami dapat mengekalkan momentum ini sepanjang musim ini.
Di samping itu, Syafiq berharap penampilan yang kerap sepanjang musim bersama Kedah akan memberinya peluang untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.
“Matlamat saya adalah tampil lebih banyak aksi dan mendapat peluang bermain untuk Malaysia sekali lagi.
“Kita ada Kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia yang amat penting. Sebagai seorang pemain yang pernah mewakili Harimau Malaya, semua pemain mahukan tempat untuk beraksi bersama pasukan kebangsaan, jadi saya tahu betapa pentingnya perlawanan itu," katanya.
Selepas ini, KDA FC akan menentang naib juara Liga Super 2023, Selangor FC yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor pada 18 Mei.
“Saya tidak akan mengatakan kami gentar untuk berdepan mereka kerana kami mempunyai momentum yang positif dan sudah bersedia untuk berdepan dengan mana-mana pasukan.
"Saya tidak akan memikirkan banyak tentang lawan kami, kami hanya perlu fokus agar pasukan meraih keputusan positif," jelasnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram