Skrip berbeza dengan import JDT, ada kisah sadis 3 pemain tak sempat debut aksi pertama Liga Super


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Dumitru hadir ke JDT dengan profil yang agak mengagumkan apabila pernah menjadi salah satu tonggak skuad kebangsaan Itali Bawah 20 tahun (B-20). — Facebook/JDT

USAI perlawanan minggu pertama Liga Super, pelbagai kontroversi sudah mula hangat diperkatakan penyokong dengan ada di antaranya melibatkan lima perlawanan yang sudah berlangsung pada Sabtu lalu.

Dari insiden Stadium Selayang berlecek sehingga ke video bantuan pengadil (VAR) tidak berfungsi untuk digunakan dalam perlawanan antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) yang berlangsung di Stadium Temerloh, Pahang pada Sabtu.

Selain kejadian kontroversi ketika lima perlawanan awal itu, ada juga spekulasi lain timbul apabila pemain import baharu Johor Darul Ta'zim (JDT), Nicolao Dumitru dikhabarkan tidak akan turun pada aksi pertama Liga Super Harimau Selatan menentang Negeri Sembilan FC (NSFC) pada Sabtu ini.

BACA LAGI: Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar

BACA LAGI: Heberty Fernandes 'kempunan' aksi Piala Sumbangsih, antara 3 import otai Liga M

Desas-desus berkenaan timbul selepas Dumitru tidak kelihatan pada foto sambutan Piala Sumbangsih JDT bersama Tunku Mahkota Ismail di Stadium Sultan Ibrahim di laman sosial rasmi kelab, dengan kapsyen 'Kami di sini! Piala nombor 27'.

Segelintir penyokong mengesyaki bahawa penyerang sayap kiri yang pernah bersama Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017 itu sudah dipinjamkan ke pasukan lain iaitu sama ada bersama saingan kelab Liga 1 Thailand ataupun Liga 1 Indonesia.

Sekiranya benar tonggak berusia 32 tahun itu sudah bersama pasukan baharu dengan status pinjaman, ia bukan sesuatu yang baharu kerana senario pemain import tidak melakukan debut pada aksi pertama sudah pernah berlaku pada pasukan Liga Malaysia (Liga M) lain.

Oleh itu, kali ini Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang tidak sempat tampil dalam perlawanan pertama dek isu kecederaan;

1) Marc Vales

WhatsApp Image 2024-05-13 at 20.06.55

Marc juga diberi kepercayaan untuk menyarung lilitan kapten ketika bersama Kedah. — Facebook/KDAFC

Bekas pemain import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Marc Vales menyertai skuad Sang Kenari dengan pengalamannya sebagai pertahanan skuad kebangsaan Andorra dan pernah beraksi di Sepanyol, Finland, Norway dan kelab di negaranya.

Namun, pemain berusia 34 tahun berkenaan tidak berkesempatan untuk beraksi dalam perlawanan pertamanya bersama Kedah ketika menentang Sarawak United pada 2022 susulan kecederaan yang dialaminya ketika itu.

Dalam perlawanan pertama Liga Super menentang skuad The Hornbill, pasukan Hijau Kuning merekodkan kemenangan 1-0 hasil jaringan dari penyerang import kelahiran Cameroon, Ronald Ngah Wanja.

Bek tengah berkenaan terpaksa menjalani prosedur rawatan lutut akibat kecederaan yang menimpanya pada perlawanan pra-musim 2022, sekali gus turut terlepas hampir separuh perlawanan Liga Super, Piala FA termasuk saingan Piala AFC.

Untuk rekod, pemain yang kini bermain bersama kelab divisyen empat Sepanyol, CE Europa berkenaan hanya tampil dalam 15 aksi Liga Super sebelum khidmat tidak disambung pada musim 2023.

2) Lucas Silva

WhatsApp Image 2024-05-13 at 20.06.54 (1)

Lucas dilabel sebagai import scammer ketika bersama Sri Pahang. — Facebook/SriPahang

Penyerang kelahiran Brazil, Lucas Silva tiba ke Sri Pahang pada 2023 dengan sambutan hangat daripada penyokong susulan persembahan cemerlangnya bersama Penang FC untuk pusingan kedua Liga Malaysia (Liga M).

Namun, harapan penyokong untuk melihatnya bersinar bersama skuad Tok Gajah meleset apabila pemain berusia 34 tahun berkenaan terpaksa berehat panjang akibat kecederaan lutut yang dialaminya pada sesi pramusim 2023.

Susulan kecederaan yang dialami bekas peledak kelab China, Kitchee itu, Lucas tidak berada dalam senarai pasukan Sri Pahang dalam aksi pertama Liga Super menentang Negeri Sembilan FC (NSFC).

Selain terlepas peluang debut menyarung jersi Tok Gajah, Lucas juga hanya merekodkan sebanyak lima perlawanan bersama pasukan kendalian Fandi Ahmad dengan tidak merekodkan sebarang jaringan gol.

Lucas kini bersama pasukan divisyen satu Hong Kong, Tai Po yang mana dia kembali di prestasi terbaiknya apabila sudah meledak 12 gol dalam 14 perlawanan bersama pasukan baharu itu.

3) Vinicius Leonel

WhatsApp Image 2024-05-13 at 20.06.54

Vinicius hanya sempat beraksi sebagai pemain Piala MFL NSFC. — Facebook/NSFC

Negeri Sembilan FC (NSFC) pernah menandatangani seorang pemain tengah bernama Vinicius Leonel namun identiti pemain tengah itu misteri pada awal kemunculannya apabila tidak pernah tampil dalam aksi Liga Super bersama skuad Jang.

Pemain yang kini berusia 27 tahun berkenaan difahamkan tiba ke bumi Seremban dengan berada pada tahap kecergasan yang kurang memuaskan sehingga tidak dapat diturunkan untuk perlawanan Liga Super.

Jika Lucas dan Marc sempat meraih minit bersama skuad utama masing-masing tetapi Vinicius pula langsung tidak tampil dalam sebarang perlawanan bersama skuad kendalian K.Devan pada musim lepas.

Difahamkan, pemain yang kini bersama Primera-VT itu membuat penampilan pertamanya dalam saingan Liga M musim lepas ketika bersama pasukan simpanan skuad Jang dalam aksi Piala MFL berdepan Kelantan FC Bawah 23 (B-23). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram