Anak murid Nafuzi, bekas pemain antara dalam senarai 'bocor' KDA FC untuk 2024


  • Podium
  • Isnin, 18 Dis 2023

Skuad Sang Kenari terpaksa berpuas hati selepas menamatkan musim 2023 di tangga keempat Liga Super. — Facebook/KDA FC

HARAPAN Kedah Darul Aman (KDA) FC untuk menamatkan saingan dalam kelompok tiga pasukan teratas Liga Super tidak tercapai apabila mereka tewas dalam perlawanan terakhir kepada Sabah FC pada Ahad.

Dua gol yang masing-masing dijaringkan Irfan Fazail dan Ramon Machado memadam usaha skuad kendalian Nafuzi Zain yang terpaksa menelan kekalahan ketujuh mereka musim ini.

Kekecewaan tersebut pastinya amat dirasai penyokong Hijau Kuning yang percaya pasukan itu mampu meraih lebih banyak pencapaian melihat kepada kualiti pemain.

Selain gagal menduduki kelompok tiga teratas Liga Super, pasukan Utara tanah air tersebut juga bergelut dalam Piala FA, Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup.

Jadi, harapan tinggi mula diletakkan buat KDA FC untuk kembali bangkit dan memberikan tentangan musim depan dengan perbelanjaan lebih besar diharap mampu dibuat sepanjang jendela perpindahan akan datang.

keepertrg_1662885333

Masa depan Rahadiazli bersama skuad Sang Penyu semakin malap. Facebook/Terengganu FC

Ketika ini, skuad Sang Kenari dikhabarkan bakal mendapatkan semula khidmat bekas penyerang pasukan, Syafiq Ahmad yang kini kerap memanaskan bangku simpanan Johor Darul Takzim (JDT).

Tidak cukup dengan itu, beberapa khabar angin turut mengatakan pasukan tersebut bakal diperkuatkan beberapa pemain yang pernah menerima tunjuk ajar Nafuzi ketika dia masih bersama Terengganu FC.

Antara yang diletakkan dalam senarai berkenaan ialah penjaga gol muda, Rahadiazli Rahalim serta kapten skuad Sang Penyu, Habib Haroon selepas pemain berusia 23 tahun itu dikhabarkan sudah tidak berada dalam perancangan pasukan.

Selain itu, empat pemain Sabah FC turut dikatakan bakal menyarung jersi skuad Sang Kenari, iaitu Farhan Roslan, Gary Steven Robbat, Irfan Zakaria serta bekas pertahanan kental mereka, Rizal Ghazali.

Rizal sebelum ini sudah berkali-kali dikaitkan dengan KDA FC selepas dua musim bersama kelab Borneo itu dengan dia baru-baru ini menegaskan sekurang-kurangnya empat pasukan Liga Super mahukan khidmatnya.

FB_IMG_1474773907802

Penyokong Hijau Kuning sememangnya mengalu-alukan kepulangan Rizal Ghazali. Facebook/Kedah FA

Tetapi, skuad Sang Kenari dilihat sebagai destinasi terbaik memandangkan pasukan terbabit bergelut dalam aspek pertahanan sayap musim ini, terutamanya di posisi bek kanan.

Pasukan tersebut juga dilaporkan bakal membawa masuk dua pemain Kelantan FC yang sudah menamatkan kontrak masing-masing iaitu Muhaimin Izzudin serta Fazrul Amir Zaman.

Meskipun statistik masing-masing kurang meyakinkan, kualiti individu mereka sukar dipandang rendah memandangkan impak kedua-dua pemain itu buat skuad The Red Warriors (TRW) cukup penting.

KDA FC turut dilaporkan berminat untuk mengalu-alukan kepulangan bekas pemain tengah mereka, Akram Mahinan yang kini beraksi bersama Kuala Lumpur (KL) City FC.

Isu kecederaan bagaimanapun berpotensi menghalang usaha tersebut dengan tonggak berusia 30 tahun tersebut hanya merekodkan 13 penampilan Liga Super musim ini.

Namun, kesemua nama-nama yang disebut dilihat tidak lebih daripada satu khabar angin daripada penyokong yang pastinya mahu yang terbaik buat gergasi bola sepak tanah air itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram