LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) membatalkan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu sepatutnya menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.
Banyak pasukan sedang melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import baharu daripada pelbagai benua dengan ada di antara mereka baru pertama kali beraksi dalam Asia Tenggara.
BACA LAGI: ‘Tak cacat pun Piala Sumbangsih kena tangguh dulu’
BACA LAGI: ‘Tangan Faisal Halim tiada refleks jangka panjang tak tepat’
Namun apa lebih menarik, Liga Super masih mempunyai pemain-pemain import 'senior' yang aktif beraksi meskipun sudah mencecah usia 35 tahun dan ke atas.
Majoriti senaraikan tiga import 'otai' yang masih ditagih khidmatnya dalam Liga Super:
1. Kipre Tchetche (36 Tahun)
Bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Kipre Tchetche masih mendapat kepercayaan Kuching City FC untuk beraksi bersama The Cats musim depan.
Pemain yang beraksi dalam Liga Malaysia sejak 2017 itu sudah meledak 50 jaringan dan 24 'assist' dalam 100 penampilan Liga Super.
Kipre dilihat akan menjadi aset penting The Cats musim ini kerana mempunyai pengalaman luas di pentas Asia seperti kejohanan Piala AFC dan Liga Juara-Juara Asia.
2. Ko Kwang-min (35 Tahun)
Bekas pemain kebangsaan Korea Selatan, Ko Kwang-min bakal mengharungi musim keduanya dalam Liga Malaysia selepas menyertai Sabah pada musim lalu.
Pemain yang tampil dalam 246 perlawanan bersama Seoul FC itu telah melakukan empat 'assist' dalam Liga Malaysia pada musim lalu.
Kwang-min mempunyai kelebihan untuk beraksi di semua posisi tengah dan pertahanan yang mana dia banyak beraksi di sayap kiri dengan 85 penampilan.
Ia sekali gus memberikan kelebihan buat Datuk Ong Kim Swee untuk melakukan pemilihan dalam membuat taktikal permainan.
3. Heberty Fernandes (35 Tahun)
Ramai penyokong menyangka Heberty tidak akan disambungkan kontrak oleh pihak pengurusan Johor Darul Ta'zim (JDT) susulan dia merupakan pemain pinjaman daripada Bangkok United pada musim lepas.
Heberty yang mempunyai pengalaman luas sekitar Asia dengan beraksi di negara Jepun, Arab Saudi dan Thailand telah menjaringkan 11 gol buat Harimau Selatan musim lalu.
Musim ini, Heberty akan menerima saingan hebat untuk kekal beraksi dalam kesebelasan utama selepas JDT membawa masuk beberapa bintang baharu dari Eropah serta Amerika Latin.
Pemain penyerang dari Brazil itu juga kempunan untuk merasai vibe Piala Sumbangsih musim ini selepas Selangor mengumumkan untuk tidak hadir selepas beberapa insiden keganasan melibatkan pemain kebangsaan, termasuk tonggak skuad Gergasi Merah, Faisal Halim di sebuah pusat beli belah ternama.
Untuk rekod, Heberty menyertai Harimau Selatan pada jendela perpindahan kedua musim lepas dan tidak terlibat dalam aksi Piala Sumbangsih menentang Terengganu yang menyaksikan skuad JDT menang 2-0. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram