Azizulhasni raih gangsa ke-2 dalam tempoh 24 jam di Jepun


  • Podium
  • Ahad, 12 Mei 2024

Azizulhasni (kanan) menaiki podium buat kali kedua dalam tempoh 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki di Piala Trek Jepun.

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang menaiki podium buat kali kedua dalam tempoh kira-kira 24 jam selepas meraih pingat gangsa dalam final keirin lelaki pada saingan Piala Trek Jepun II di Velodrom Izu, Shizuoka, Jepun pada Ahad.

Menurut laman sesawang, Uci.org, Azizulhasni terpaksa akur dengan kehebatan dua pelumba tuan rumah yang menyaksikan Kaiya Ota meraih emas dan perak menjadi milik Kento Yamasaki.

Manakala Azizulhasni pula terpaksa berpuas hati di tempat ke-3 pada saingan tersebut.

BACA LAGI : Masalah teknikal VAR 'bunuh' peluang Sabah raih 3 mata

BACA LAGI : Liga Super 2024 buka tirai dalam duka, tidak ikut tradisi seperti biasa

Azizulhasni turut berkongsi perasaan gembiranya dalam laman sosial apabila memuat naik status gambar beliau di atas podium.

Dalam perlumbaan pada Ahad, strategi juara dunia 2017 dan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Tokyo 2020 dalam acara keirin itu melakukan pecutan awal dapat dihidu Ota dan Yamasaki yang berjaya memintas untuk mengesahkan kejayaan satu-dua Jepun.

Pada masa sama, seorang lagi pelumba negara Muhammad Shah Firdaus Sahrom yang gagal melayakkan diri ke final, menamatkan saingan tempat ketujuh hingga 12 di kedudukan kelapan.

Sementara itu, bintang muda berbasikal trek negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri meraih tempat ketujuh dalam acara keirin wanita apabila mendominasi perlumbaan tempat ketujuh hingga 12 selepas gagal menempatkan diri dalam saingan final.

Perlumbaan di Jepun itu sebagai antara persediaan Azizulhasni, Shah Firdaus dan Nurul Izzah yang merupakan tiga pelumba berbasikal trek negara layak ke Sukan Olimpik Paris 2024 sebelum menghadapi cabaran di temasya sukan berprestij itu bermula Julai depan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram