KELAB Australia, Central Coast Mariners FC dinobatkan sebagai juara Piala AFC 2023/24 selepas berjaya menewaskan pasukan dari Lubnan, Al Ahed FC dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Sultan Qaboos, Oman pada awal pagi Isnin.
Perlawanan tidak diheretkan ke masa tambahan selepas pemain Bawah-23 Tahun (B-23) Australia, Alou Kuol menjaringkan gol pada minit ke-84 permainan sekali gus menjadikan keputusan akhir tamat dengan 1-0.
Dalam perlawanan itu, Central Coast Mariners mengawal hampir 64 peratus tempo permainan dan berjaya melakukan 10 rembatan ke arah gawang gol pihak lawan.
BACA LAGI: Ada yang komen kata tak membantu, TMJ dilapor sudah respons lebih awal kes samun Akhyar Rashid
Kejayaan merangkul trofi Piala AFC 2023/24 itu akan menambah semangat anak-anak buah Mark Jackson untuk menamatkan kempen A-League Men (liga utama Australia) sebagai juara apabila The Mariners kini berada di pentas separuh akhir kejohanan itu.
Namun begitu, kejayaan Central Coast Mariners di pentas Asia itu pastinya sedikit terluka apabila mereka gagal merekodkan kemenangan bersih sepanjang menuju ke perlawanan akhir Piala AFC.
Ini kerana, Terengganu FC (TFC) pernah menewaskan Central Coast Mariners dalam perlawanan pertama Kumpulan G Piala AFC selepas Nathan Paull (pertahanan Central Coast Mariners) tertendang bola masuk ke dalam gawang sendiri hasil hantaran lintang Nurillo Tukhtasinov pada 20 September 2023.
Bukan itu sahaja, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner turut berjaya mengikat Central Coast Mariners di halaman sendiri yang mana Engku Nur Shakir membuka jaringan pada minit ke-53 permainan sebelum Miguel Di Pizio menyamakan kedudukan sebelum wisel penamat ditiupkan.
BACA LAGI: Steenvoorden masih belum 'solid', fans TFC desak rekrut bekas import Sang Penyu
Namun begitu, Sang Penyu tidak berjaya melepasi peringkat kumpulan selepas hanya berpuas hati di tempat kedua dibelakang Central Coast Mariners dengan perbezaan satu mata.
Terengganu merekodkan tiga kemenangan, tiga seri dan tidak tewas dalam enam perlawanan di Kumpulan G sekali gus mengutip 12 mata secara keseluruhannya.
Musim ini, Terengganu akan menerima kunjungan Perak FC sebagai perlawanan pembukaan Liga Super yang akan dijadualkan beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Sabtu ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram