SEHINGGA kini, kenangan menjulang treble pada 2012 masih sukar dilupakan penyokong bola sepak Kelantan memandangkan kejayaan itu semakin sukar untuk diulangi.
Mereka yang serba lengkap dalam pelbagai posisi cukup digeruni ketika itu dengan pencabar lain sukar mengekang serangan mahupun menembusi pertahanan skuad The Red Warriors (TRW).
Salah seorang bintang yang memainkan peranan penting pada waktu tersebut ialah pemain pertahan, Zairul Ahmad Fitree dengan dia boleh diturunkan dalam beberapa posisi bertahan.
BACA LAGI: CEO Kelantan mengaku proses penswastaan TRW gagal
BACA LAGI: TRW realisasikan impian, Zamsaham sanggup terbangkan import dari Senegal
Kejayaan Kelantan FA lebih 10 tahun lalu sememangnya sukar dilupakan.
Lasak, peka dan rajin merupakan antara ciri-ciri yang sesuai untuk menggambarkan gaya permainannya sehingga menjadikannya watak penting pasukan.
Kejayaan itu turut diakui sebagai sesuatu yang cukup bermakna buatnya memandangkan sehingga kini, pemain berkenaan masih melihat kenangan tersebut paling sukar dilupakan.
Namun, menurutnya, momen berharga dalam kariernya adalah apabila skuad TRW tewas dalam perlawanan akhir Piala FA 2011 kepada seteru Pantai Timur, Terengganu FA.
"Inilah pingat yang paling kecewa bagi saya, final Piala FA yang mana kita pada minit-minit akhir digagalkan Terengganu yang mana Daudsu (Jamaludin) menjaringkan gol sendiri.
"Ini ialah kenangan paling pahit kerana kita gagal untuk membawa pulang trofi ke Kelantan pada tahun tersebut. Itu pada minit akhir, ada 13 saat sahaja dan lawan boleh pula skor," katanya kepada MFL.
Dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, jaringan sendiri daripada Daudsu mengherat aksi ke masa tambahan.
Peluang itu kemudiannya disambar skuad Sang Penyu yang menjaringkan gol menerusi Nordin Alias, sekali gus mengesahkan Piala FA pada tahun tersebut milik mereka.
Tambah pemain yang juga dikenali sebagai Roypy itu, barangan lain yang cukup berharga sepanjang kariernya adalah satu album diberikan bapanya selepas pemain itu menamatkan karier beberapa tahun lalu.
Kesilapan benteng pertahanan skuad TRW menghadiahkan kemenangan buat Terengganu.
"Saya rasa amat dihargai kerana saya tidak tahu bahawa dia simpan bermacam-macam cerita mengenai TRW dahulu sedangkan dia tidak pernah turun ke stadium.
"Saya terimanya pada 2020 dan dia berpesan untuk menyimpannya dengan elok bagi tatapan anak-anak saya pada masa akan datang," kata bekas pemain itu.
Berdasarkan perkongsian Zairul, album yang dimaksudkan ialah sebuah buku berserta potongan surat khabar memaparkan Zairul serta kepingan gambar.
Jadi, tidak hairanlah apabila dia sukar melupakan penghargaan diberikan bapanya meskipun tidak pernah hadir ke stadium untuk memberi sokongan moral.
Kini, Zairul merupakan pembantu jurulatih di Kelantan Darul Naim (KDN) FC dengan kelibatnya sudah tentu akan membuatkan penyokong skuad TRW mengikuti rapat perkembangan kelab 'adik' itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram