PASUKAN Pantai Timur, Kelantan FC mempunyai musim yang cukup menyeksakan baik buat para pemain serta penyokong.
Menjadi pasukan belasahan sambil memboloskan lebih 100 gol dalam saingan Liga Super. The Red Warriors (TRW) menamatkan liga sebagai pasukan tercorot sambil pelbagai isu luar padang menyelubungi.
Pemilik kelab, Norizam Tukiman atau Zamsaham kini lebih banyak mendiamkan diri selepas kelab mempunyai ketua pegawai eksekutif iaitu Ahmad Muzakkir Hamid.
Tugas Muzakkir untuk menstabilkan kelab benar-benar mencabar, malah dia mengakui usaha Kelantan supaya dapat berdiri sebagai pasukan yang diswastakan sepenuhnya adalah gagal.
Usaha menswastakan Kelantan FC tidaklah semudah disangka. — Facebook/MFL
Dalam tulisannya di laman Facebooknya, Muzakkir berkongsi bagaimana hubungan antara pihak kelab dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) dingin menjadi punca utama kenapa TRW menderita.
"Penswastaan di Kelantan gagal. Jika dilihat isu kewangan, untung rugi pasukan sudah pasti ia memberi kesan mendalam bagi sesebuah pasukan.
"Kesan ini dilihat di Kelantan adalah merupakan sentimen individu yang membawa pasukan negeri bukannya sebuah persatuan yang mewakili sebuah negeri. Maka ia dianggap kegagalan dalam penswastaan tersebut apabila sokongan pelbagai sudut dilihat gagal.
"Lebih ketara apabila perang dingin di awal sebulan pemilikan antara TRW Sdn. Bhd. dengan KAFA menyebabkan tiada perhubungan tolong menolong kedua-dua pihak. Sedangkan kedua-duanya boleh saling berganding bahu bekerjasama kerana KAFA juga diberi satu slot penajaan utama yang bernilai ratusan ribu di jersi dalam perjanjian jual beli tersebut," kata Muzakkir.
Muzakkir mengatakan sikap kenegerian yang keterlaluan membuatkan proses memajukan kelab tergendala, barang kali kerana faktor Zamsaham bukanlah warga negeri tersebut.
Akan tetapi, Muzakkir berikrar mahu memastikan hubungan antara dua entiti tersebut akan kembali baik sekali gus bola sepak Kelantan akan mekar semula. Selain itu, dia mahu menghadap Sultan Kelantan untuk mendapatkan pandangan memajukan semula sukan tersebut.
"Sepanjang saya dilantik saya ingin kembalikan hubungan antara TRW dan KAFA namun ia sudah penghujung (penggal) kerana ahli majlis yang ada sekarang semuanya sudah tamat tempoh (perkhidmatan), dan KAFA wajib ada pemilihan baru.
"Selain KAFA saya juga cuba bina hubungan namun masa yang terhad, jika saya diberi kesempatan saya juga ingin menghadap Tuanku Al- Sultan Kelantan, saya ingin mengambil pandangan baginda dalam pelbagai aspek," ujar Muzakkir.
Kelantan menamatkan saingan Liga Super musim 2023 sebagai pasukan tunggal mengutip mata dengan satu digit iaitu lapan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram