Sanggup bertongkat turun ke stadium petanda aura TRW sudah meresap ke KDN


  • Podium
  • Selasa, 30 Apr 2024

Tangkap layar memaparkan beberapa penyokong warga emas sanggup hadir ke stadium untuk memberi sokongan.

HARAPAN pihak pengurusan Kelantan Darul Naim (KDN) FC untuk menyaksikan kelab itu menjadi pasukan kesayangan di negeri tersebut masih belum direalisasikan selepas hampir lima bulan ia diperkenalkan.

Pasukan yang dahulunya dikenali sebagai Kelantan United masih sukar diterima memandangkan rata-rata penyokong masih beranggapan skuad The Red Warriors (TRW) sebagai kelab utama mereka.

Manakan tidak, kejayaan yang dikecapi lebih 10 tahun lalu sukar dipadam dengan ia merupakan kemuncak dalam sejarah bola sepak negeri.

Perasaan tersebut masih kekal sehingga hari ini meskipun Kelantan FC disahkan tidak dapat beraksi dalam Liga Super 2024/25 disebabkan isu tunggakan gaji dialami musim lalu.

Tetapi, melihat kepada aksi pramusim KDN FC, penyokong bola sepak di negeri Pantai Timur berkenaan sudah mula menerima skuad Kijang Emas dengan ribuan penyokong sudah membanjiri Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.

Kehadiran mereka sedikit sebanyak memberi kelegaan kepada pihak pengurusan yang mahu menjadikan pasukan itu sebagai pilihan utama dalam negeri.

BACA LAGI: Dah 'deal' dengan pasukan lain, Allee dedah sebab 'Hamba ALLAH' sertai TRW Kelantan

439619398_877987531007569_4339127276310555379_n

Ribuan penyokong hadir untuk menyaksikan aksi skuad Kijang Emas. Facebook/Kelantan United FC

BACA LAGI: Tak mustahil Zaquan Adha, bekas anak murid dalam radar Rezal Zambery mantapkan KDN FC

Malah, baru-baru ini, satu momen menarik sempat dirakam apabila kelihatan beberapa penyokong warga emas dengan ada yang bertongkat hadir untuk menyaksikan perlawanan persahabatan mereka menentang Negeri Sembilan FC.

Perkara itu dikongsikan di akaun TikTok Faizz Fauzi yang menyaksikan penonton sanggup turun untuk memberikan sokongan buat KDN FC.

Meskipun suasana sedemikian bukanlah sesuatu yang baharu di Kelantan, ia menjadi petanda penyokong sudah menerima hakikat bahawa KDN FC juga memerlukan sokongan untuk bersaing dengan lebih bersemangat di Liga Super.

Musim lalu, Kelantan United hanya menamatkan saingan Liga Super di kedudukan ke-12 hasil 17 mata dikutip daripada empat kemenangan dan lima keputusan seri.

Kedudukan tersebut pasti diharapkan dapat ditambah baik selepas ini dengan pelaburan lebih besar sudah dibuat dalam menaikkan lagi kualiti pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram