KURANG sebulan lagi, pasukan Liga Super akan memulakan kempen baharu Liga Malaysia dengan perlawanan pertama di antara dua gergasi bola sepak negara iaitu Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC pada 10 Mei nanti.
Aksi sulung Liga Super itu dijangka menjadi tumpuan seluruh negara apabila pemenang juga bakal menjulang Piala Sumbangsih atau dikenali sebagai Piala Sultan Haji Ahmad Shah, selain memberikan tiga mata penuh buat pemenang.
Banyak pasukan sedang melakukan penambahbaikan dengan kemasukan import baharu daripada pelbagai benua dengan ada di antara mereka baru pertama kali beraksi dalam Asia Tenggara.
Namun prestasi pasukan 'Top 4' pada musim lepas pastinya menjadi tumpuan untuk melihat persediaan mereka menjalani pramusim bagi menghadapi saingan Liga Super 2024/25.
Majoriti senaraikan empat bintang 'Top 4' yang mula menunjukkan kecemerlangan dalam siri jelajah pemanas badan musim ini:
BACA LAGI: 'Bukan saya', ejen Seo nafi ada tunggakan gaji 6 bulan, anggap hanya salah faham
1. Johor Darul Ta'zim (JDT) - Ramadhan Saifullah
Pemain meningkat naik Harimau Selatan, Ramadhan Saifullah sudah memberikan bayangan bahawa dia bersedia untuk memberi cabaran buat Fernando Forestieri selepas tampil cemerlang di bumi Sepanyol.
Ramadhan sudah mula mencetak nama sebagai penjaring gol dalam aksi pramusim JDT di Sepanyol.
Pemain berusia 23 tahun itu telah menjaringkan gol hatrik semasa JDT membelasah Club Costa City dengan keputusan 7-0 baru-baru ini.
Bukan dalam perlawanan itu sahaja, Ramadhan turut mencetak nama bertemu CD Alcoyano dan ini memberi mesej bahawa dia bersedia berada dalam kesebelasan utama Harimau Selatan musim depan.
2. Selangor FC - Alvin Fortes
Pada mulanya ramai meragukan keupayaan bekas pemain Ratchaburi FC, Alvin Fortes selepas rekod hambar dalam Liga Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Namun selepas melihat persembahannya dalam kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2024, ramai penyokong mula terpikat dengan aksi lincahnya.
Itu belum lagi dengan tiga jaringan yang dihasilkannya dalam dua perlawanan menentang Brunei DPMM FC dan Young Elephants FC.
Malah pemerhati bola sepak juga sudah bercakap pemain kelahiran Belanda dengan mengatakan dia akan menjadi aset penting buat Gergasi Merah untuk mencabar kejuaraan Liga Super 2024/25.
3. Sabah FC - Ramon Machado
Tidak dinafikan penampilannya semasa jendela perpindahan kedua musim lalu telah menarik minat banyak pasukan Liga M untuk mendapatkan khidmatnya.
Tidak lain tidak bukan, penyerang kelahiran Brazil, Ramon Machado yang berjaya merekodkan 13 jaringan dan empat 'assist' dalam 20 penampilan bersama Sabah.
Walaupun memasuki usia 33 tahun pada musim kali ini, ledakan Machado tidak terhenti apabila sudah mula memanaskan kaki dengan menjaringkan dua gol menentang Keningau FA.
Ia sekali gus memberikan gambaran bahawa umur bukan penghalang buat Machado untuk kekal meledak bersama The Rhinos musim depan.
BACA LAGI: Dah 'deal' dengan pasukan lain, Allee dedah sebab 'Hamba ALLAH' sertai TRW Kelantan
4. Kedah Darul Aman FC (KDA FC) - Sukhrob Nurullaev
Jika tiga bintang di atas berjaya menjaringkan gol, berbeza pula dengan pemain import baharu Sang Kenari, Sukhrob Nurullaev apabila berjaya membuat penyokong Kedah jatuh hati dengan aksi pramusimnya di Terengganu baru-baru ini.
Bekas pemain muda kebangsaan Uzbekistan itu tidak memerlukan tempoh masa yang lama untuk menambat hati seluruh penyokong Hijau Kuning dengan gerakan lincahnya.
Keserasiannya mengawal bola dan 'link play' bersama penyerang dari Serbia, Milos Gordic berjaya membuatkan penyokong Kedah teruja.
Malahan sudah apa penyokong yang melupai khidmat bekas pemain import terdahulu yang cemerlang bersama Sang Kenari terutamanya bintang di posisi sayap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram