INSIDEN simbahan asid dialami tonggak skuad kebangsaan, Faisal Halim menyaksikan pelbagai pihak tampil memberikan sokongan moral terhadapnya menerusi hantaran di media sosial.
Selain kelab-kelab Liga Super, beberapa persatuan bola sepak seperti Thailand dan Indonesia turut bersolidarti bersama pemain sayap yang cukup dikenali di rantau Asia Tenggara.
Malah, bintang Manchester United iaitu Andre Onana dan Diogo Dalot turut hadir mengirim kata semangat buat Faisal dengan sokongan itu sudah tentu menyentuh hati orang ramai.
BACA LAGI: Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?
BACA LAGI: Selangor pilih boikot, tidak hadir Piala Sumbangsih
Ucapan motivasi terhadap pemain berusia 26 tahun itu tidak putus-putus apabila pada Selasa, legenda ragbi dunia, Sonny Bill Williams tampil memberikan suntikan semangat.
Dalam satu klip pendek dikongsikan di akuan media sosial Selangor FC, pemain yang kini bersara tersebut merekodkan kata-kata sokongan buat Faisal yang kini masih menerima rawatan.
"Hanya mahu memberikan anda doa. Semoga ALLAH memberikan kesembuhan buat anda dan semoga Dia mengurniakan kemudahan buat kamu. Saya mendoakan anda diberikan kesihatan," katanya.
Sepanjang bergelar pemain, Williams pernah beraksi beberapa kali dalam pasukan ternama, All Blacks dengan menjuarai Piala Dunia Ragbi pada 2011.
Namun, reputasinya semakin dikenali ramai setelah dia menjadi lebih aktif dalam menyuarakan isu kemanusiaan selepas bersara daripada beraksi secara profesional tiga tahun lalu.
Berdasarkan perkembangan semasa, Faisal kini sudah semakin sembuh daripada kecederaan dialami akibat serangan asid selepas menjalani beberapa siri pembedahan.
Tetapi, penyerang Selangor FC itu masih perlu diberikan rawatan rapi selain perlu berehat daripada dunia bola sepak untuk kira-kira enam bulan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram