Selangor FC berisiko hilang 12 mata, dilucut kejohanan Asia?


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Selangor dilaporkan berdepan pemotongan mata kerana tidak beraksi di Piala Sumbangsih. — Selangor FC

KELAB Liga Super, Selangor FC dikhabarkan berisiko dikenakan hukuman yang cukup keras kerana menarik diri daripada menyertai perlawanan Piala Sumbangsih berdepan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan aksi pertama Liga Super.

Dijadualkan berdepan Harimau Selatan di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei (Jumaat), Selangor memilih untuk menarik diri atas beberapa faktor terutamanya berkenaan keselamatan para pemain dan pegawai kelab.

Pada Selasa lepas, Selangor secara rasmi meminta kepada Malaysian Football League (MFL) serta Persatuan Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk menangguhkan perlawanan tersebut.

BACA LAGI: Bimbang keselamatan pemain selain Faisal Halim terancam, Selangor mohon tunda Piala Sumbangsih

Akan tetapi, permintaan tersebut ditolak oleh MFL dengan badan penganjur liga itu memilih untuk meneruskan perlawanan pembuka musim baharu Liga Malaysia.

Selangor kemudiannya berkeras untuk menarik diri apabila mereka mengesahkan "tidak hadir" ke perlawanan tersebut dalam kenyataan dikeluarkan pada Rabu.

"Setelah penelitian dijalankan dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak berikutan rentetan dari insiden jenayah serta ancaman yang baru berlaku melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh hanya 72 jam, pihak kelab terpaksa mengambil keputusan yang amat sukar untuk TIDAK HADIR ke perlawanan Piala Sumbangsih 2024 yang telah lama kelab ini nantikan," kata Selangor dalam kenyataan mereka.

Oleh tindakan Selangor yang menarik diri, mereka dikatakan bakal menerima hukuman berat. Menurut siaran di laman X (Twitter) menerusi akaun Ismael Wong, Gergasi Merah dijangka diberikan hukuman pemotongan mata yang cukup banyak.

Selain daripada itu, status sebagai wakil Malaysia di Asia turut terjejas dengan tempat Selangor berpotensi digantikan dengan kelab lain.

BACA LAGI: Tangguh Piala Sumbangsih, Selangor terima apa jua keputusan MFL

"Angin bertiup kencang dari Kelana Jaya membawa khabar. Dalam pertimbangan untuk Selangor didenda (pemotongan) 12 mata dalam liga dan dilucutkan kelayakan Asia musim 2024/2025.

"Alasannya adalah kehilangan pendapatan penajaan dan menjejaskan imej dan jenama liga," kata akaun tersebut.

Pihak Majoriti telah menghubungi dari pihak MFL mengenai perkara ini dan masih menantikan maklum balas mengenai perkara tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram