[VIDEO] 'Neymar Malaysia' sudah kembali, catat hatrik dalam aksi persahabatan di Sandakan


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Rozaimi menyertai skuad B-23 Sabah FC dengan harapan mampu mendapatkan semula ketangkasannya di atas padang. — Facebook/Sabah FC

KEMALANGAN dialami Rozaimi Abdul Rahman pada Julai 2015 boleh dianggap sebagai satu momen terburuk dalam hidupnya memandangkan ia sekali gus menamatkan karier bola sepaknya.

Meskipun beberapa kali mencuba nasib untuk kembali terlibat dalam sukan itu, kecederaan serius dialaminya menghalang pemain itu daripada beraksi selincah dahulu.

Selain pernah menyertai pelbagai kelab Liga Super, Rozaimi juga beberapa kali mencuba nasib bersama pasukan bawahan dengan harapan usahanya membuahkan hasil seperti mana diharapkan.

BACA LAGI: Kepulangan pemain sayap lincah hadiahkan kemenangan buat Sang Badak

BACA LAGI: Demi Sang Badak, fans Sabah sanggup panjat pokok di Keningau

Rakaman daripada kesemua jaringan Rozaimi dalam perlawanan tersebut.

Jadi, genap sembilan tahun sejak insiden itu, pemain kelahiran Papar, Sabah tersebut kelihatan lebih yakin akan kemampuannya di atas padang.

Ini kerana dia mengambil langkah berani dengan menyertai skuad Bawah 23 Tahun (B-23) Sang Badak pada jendela perpindahan lalu yang sememangnya meraih pujian ramai.

Keputusan tersebut jelas membuahkan hasil apabila baru-baru ini, bekas pemain kebangsaan berkenaan berjaya menunjukkan kebolehan sebenarnya seperti dipamerkan sebelum dia mengalami kemalangan mengerikan itu.

Dalam satu aksi persahabatan di Stadium Sandakan pada Ahad lalu, Rozaimi mencatatkan jaringan hatrik ketika berdepan Pasukan Pilihan PNDS di hadapan ratusan penyokong.

441163496_838673521632674_8610125798340376501_n

Kepulangan Rozaimi melakar senyuman dalam kalangan penyokong skuad Sang Badak. Facebook/Sabah FC

Sumbangan tersebut membolehkan Sabah B-23 meraih kemenangan 4-0 ke atas lawannya itu selain memberikan ruang buat pemain berusia 31 tahun berkenaan untuk mendapatkan semula rentaknya.

Lebih menarik lagi, kesemua tiga gol yang dicetaknya merupakan jaringan cukup berkualiti, termasuk satu daripadanya dihasilkan menerusi sepakan percuma.

Persembahan dipamerkannya sudah tentu mengukir senyuman dalam kalangan penyokong skuad Sang Badak serta peminat setia bola sepak tempatan yang merindui kelibat 'Neymar Malaysia' itu.

Setakat ini, tiada perancangan daripada pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee untuk mendapatkan khidmatnya dalam pasukan Liga Super kerana tahap kecergasan pemain itu masih belum diketahui.

Bagaimanapun, selepas semakin selesa untuk beraksi, terdapat kemungkinan dia akan diserap ke dalam skuad senior untuk membantu jentera serangan pasukan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram