PENGGUNAAN sistem Video Pembantu Pengadil (VAR) sendiri jenis sistem Goal Sport VAR bakal digunakan pertama kali di Sabah untuk perlawanan Liga Malaysia di Stadium Likas, Sabah selepas segala proses latihan, pengurusan dan teknikal diselesaikan selepas Jun ini.
Memetik laporan Buletin TV3, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Datuk Stuart Ramalingam mengumumkan, perkara itu direalisasi hasil kesediaan kerajaan Sabah melabur untuk pemasangan Sistem Goal Sport di stadium tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan jumlah pelaburan tersebut.
BACA LAGI: Masalah teknikal VAR 'bunuh' peluang Sabah raih 3 mata
BACA LAGI: Liga Super 2024 buka tirai dalam duka, tidak ikut tradisi seperti biasa
Penggunaan VAR masih belum dapat digunakan ketika perlawanan Liga Super di Likas pada Ahad. — MFL
Stuart pada masa sama berkata, setakat ini, Liga Malaysia mengguna pakai Sistem Keterlihatan Dipertingkat (EVS) mudah alih dengan empat trak mudah alih dalam perlawanan liga itu di Semenanjung dan perlawanan di Stadium Likas buat masa ini juga menggunakan sistem VAR jenis EVS.
Katanya, VAR yang disediakan di Stadium Likas adalah daripada sistem Goal Sport dibezakan dengan EVS berdasarkan teknologi tertentu dan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) secara dasarnya tidak mempunyai halangan untuk Liga Malaysia menggunakan dua sistem VAR berbeza.
"Sistem (VAR) yang digunakan hari ini untuk (Liga Super) Sabah FC dan Penang FC di Stadium Likas adalah sistem yang dibawa dari Semenanjung iaitu EVS yang digunakan MFL ketika ini.
"Dalam bulan 6, 9 dan 10 ketika FIFA window nanti kita boleh jalankan latihan pengadil untuk gunakan dua sistem ini selain adakan mesyuarat penyelarasan dan latihan lain sama ada di Sabah atau Kuala Lumpur. Timeline kita guna (sistem Goal Sport) dalam Liga Malaysia tahun ini," katanya.
Pada Ahad, perlawanan Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, Sabah berakhir dengan satu mata apabila sekadar seri tanpa jaringan apabila sistem VAR tidak dapat digunakan kerana mengalami masalah teknikal.
Masalah tersebut sekali gus 'membunuh' peluang Sabah untuk meraih tiga mata apabila mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti pada minit ke-77 selepas bola terkena tangan pemain import Penang, Richmond Ankrah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram