PERLAWANAN Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, Sabah pada Ahad lalu berakhir dengan satu mata apabila sekadar seri tanpa jaringan.
Dalam aksi tersebut, trio Sang Badak, Saddil Ramdani, Ramon Machado dan Darren Lok menemui kebuntuan apabila gagal meledak sebarang jaringan sehingga wisel penamat perlawanan dibunyikan.
Malah, sistem bantuan video pengadil (VAR) yang tidak dapat digunakan kerana mengalami masalah teknikal menambah kedukaan Sang Badak dalam meraih tiga mata penting.
BACA LAGI: Selain Rizal-Saddil, 3 lagi gandingan tempang tercari-cari 'chemistry'
BACA LAGI: Syafiq Ahmad tidak gentar aksi bertemu Selangor FC, sedia rebut tempat skuad kebangsaan
Keadaan jersi Darren Lok sebelum dan selepas logo tersebut tercabut. — Facebook
Ia susulan apabila Sang Badak sepatutnya mendapat sepakan penalti pada minit ke-77 selepas bola terkena tangan pemain import Penang, Richmond Tetteh Ankrah namun protes pemain tuan rumah tidak dilayan oleh pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin.
Lebih mengecewakan, jersi baharu The Rhinos yang dinamakan sebagai 'Tagap' untuk digunakan bermain di laman sendiri mendapat kritikan daripada penyokong.
Ini kerana selepas pelekat logo pasukan Sabah FC pada jersi penyerang berbisa, Darren Lok tercabut ketika aksi bertemu Harimau Kumbang.
Perkara tersebut dikongsikan di sosial media Facebook yang mana memaparkan keadaan jersi Darren Lok sebelum dan selepas logo tersebut tercabut.
Malah ramai penyokong Sabah FC mengkritik kualiti jersi yang dikeluarkan oleh salah satu rakan penyedia jersi pasukan pada musim 2024/2025.
"Tidak sesuai kalau beli mahal-mahal tapi mudah tercabut, harap pihak berkaitan tingkatkan kualiti," kata Rudolf Alfred.
"Kalau masa main pun boleh tercabut, apa lagi kalau kena cuci kan?," kata Ferdy Jimmy.
"Nampak sangat jersi Sabah tidak berkualiti, tengah game pun boleh tercabut," kata Fred Milan.
Selepas ini, Sabah akan bertemu Kelantan Darul Naim bagi perlawanan kedua Liga Super yang akan berlangsung di tempat lawan pada 17 Mei. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram