Kepulangan pemain sayap lincah hadiahkan kemenangan buat Sang Badak


  • Podium
  • Isnin, 26 Jun 2023

Barisan pemain Sang Badak meraikan kemenangan ke atas Sang Kijang Hijau dalam aksi Liga Super. — Facebook / MFL

SELEPAS beberapa minggu berehat kerana kecederaan, Saddil Ramdani kembali dengan penuh kejayaan apabila berjaya membawa skuad Sabah FC menewaskan Kelantan United FC (KUFC) dengan keputusan 3-0 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu pada Isnin.

Pasukan Sabah FC berjaya membawa tiga mata penuh di tempat lawan menerusi jaringan menarik daripada barisan pemain Sang Badak itu.

Pada awal babak pertama, kedua-dua pasukan menampilkan aksi yang cukup menarik apabila dilihat memberikan tekanan kepada pihak lawan.

WhatsApp Image 2023-06-26 at 23.32.50 (1)

Kepulangan Saddil mengubat rindu para penyokong Sang Badak. — Facebook / MFL

Pasukan Sabah FC dilihat menampilkan prestasi cemerlang dengan kehadiran semula pemain kelahiran Indonesia, Saddil yang memberikan tonik baharu kepada skuad Sang Badak.

Namun begitu, dalam perlawanan tersebut, kelihatan jentera serangan KUFC ingin menguji penjaga gol Sang Badak, Khairul Fahmi Che Mat dengan membuat rembatan tetapi berhasil ditepis kemas oleh bekas pemain kebangsaan itu.

Tidak lama selepas itu, peluang kedua tidak berjaya disempurnakan oleh pemain pertahanan tuan rumah, Yan Victor kerana berjaya ditangkap kemas oleh Khairul Fahmi.

Sang Badak tidak menunggu lama untuk membuat percubaan apabila pemain pertahanan Sabah FC, Park Tae-su ingin menguji penjaga gol tuan rumah dengan jarak jauh tapi sedikit tersasar dari gawang.

Bagaimanapun, pada minit ke-22, pemain sensasi Indonesia, Saddil membuka tirai jaringan menumpaskan penjaga gawang tuan rumah dan menjadikan Sabah FC sebagai pendahulu perlawanan.

Sebelum pengadil perlawanan meniup wisel penamat masa pertama, Stuart Wilkin mengambil peluang untuk meletakkan Sang Badak pada kedudukan yang selesa menerusi jaringan minit ke-45+1.

Pada perlawanan babak kedua, The Rhinos semakin garang kerana menginginkan kemenangan dengan memberikan tekanan kepada tuan rumah menerusi serangan demi serangan.

Walaupun bekas pemain Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Baddrol Bakhtiar dilayangkan kad kuning, namun pemain berusia 35 tahun itu mencetak gol pada minit ke-62 hasil hantaran bantuan daripada Saddil.

Pada 20 minit terakhir, gerakan solo Stuart Wilkin cuba memberikan tekanan kepada penjaga gol KUFC dengan rembatan kencang kaki kirinya namun berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Sang Kijang Hijau.

Ramai penyokong meluahkan rasa bangga dengan kehadiran semula pemain berusia 24 tahun itu dalam membantu jentera serangan Sabah FC yang dikatakan semakin tumpul sebagai penyudah.

"Saddil main bagi effect yang padu. Terbaik," kata Pat Rick.

"Nampak kan, kalau Saddil balik beraksi tetap ada jaringan," kata Aloicius Sius.

"Masuk saja No 11 (Jafri Firdaus) sebagai pemain gantian, terus slow permainan, Saddil memang penting untuk Sabah FC," kata Ibrahim Munir.

Kehadiran semula Saddil amat dirasai oleh barisan pemain Sabah FC berikutan kecederaan yang dialami oleh pemain kelahiran Indonesia itu.

Skuad Sabah FC kekal berada tangga kelima dalam carta Liga Super 2023 dengan mengutip 27 mata sepanjang 15 perlawanan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram