SEPERTI pasukan Liga Super yang lain, Sabah FC yang memulakan perlawanan pramusim menunjukkan tanda positif apabila berjaya mencatatkan kemenangan besar ke atas Keningau FA pada Selasa.
Perlawanan yang berlangsung di Stadium Kompleks Sukan Keningau, Sabah itu menyaksikan anak-anak buah Datuk Ong Kim Swee mudah membelasah kelab amatur, Keningau FA.
Dalam aksi tersebut, Sang Badak mencipta kejayaan dengan 10 jaringan tercetak menerusi Azhad Harraz Arman, penyerang berbisa, Darren Lok dan import Brazil, Ramon Machado yang masing-masing mencetak dua gol.
Gol lain berjaya disumbangkan oleh Harith Naem, Telmo Castanheira, Jafri Chew dan Saddil Ramdani yang masing-masing mencetak satu gol.
BACA LAGI: [VIDEO] Main teruk, Mukhairi Ajmal sedar ramai orang tak suka dirinya
Gelagat salah seorang penyokong bola sepak yang sanggup memanjat pokok demi menyaksikan perlawanan tersebut. — Facebook/SaffinaYakob
BACA LAGI: Ke mana tumpahnya kuah kalau bukan ke nasi, 3 pemain junior JDT, Kedah dan Sabah ada jelmaan senior
Begitupun, Keningau FA berjaya membawa dua gol sagu hati menerusi Jufrey Omopor dan Oliver Jhonny pada babak pertama perlawanan.
Menariknya aksi tersebut, ramai warga Keningau tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi di venue berkenaan.
Dianggarkan lebih 10 ribu penyokong Sabah FC yang didominasi oleh warga Keningau datang memeriahkan aksi persahabatan berkenaan.
Bagaimanapun, gelagat salah seorang penyokong setia Sabah FC sempat mencuri tumpuan apabila dilihat sanggup memanjat pokok semata-mata mahu melihat aksi tersebut berikutan tiket perlawanan sudah habis dijual.
Bukan seorang malah ramai penyokong Sang Badak yang tidak berpeluang untuk membeli tiket berkenaan tetap menyaksikan perlawanan tersebut di luar kawasan stadium.
Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata warga maya memuji tindakan individu tersebut yang sanggup memanjat pokok berdekatan stadium berkenaan.
"Inilah namanya semangat bola, sanggup lakukan apa saja untuk tengok perlawanan dengan jelas," kata Azali Azzanova.
"Semangat begini kita mahu, sanggup panjat pokok gara-gara mau tengok Sabah main, tak kisah menang atau kalah pasukan tuan rumah, janji dapat tengok Sabah," kata Miguel.
"Lain macam semangat uncle ni kan, ni baru semangat bola sepak, mungkin sebab Keningau dekat kan, kalau mau pergi Likas mesti jauh," kata Jeffry. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram