[VIDEO] Lepas game Kedah, giliran CEO Perak perjelas fungsi sebenar VAR


  • Podium
  • Ahad, 12 Mei 2024

Bobie pastinya mahu pemasangan teknologi VAR menyajikan perlawanan Liga Super yang lebih adil. — Facebook/Perak FC

KEKALAHAN pertama dialami Perak FC dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25 ketika mereka berdepan skuad Sang Penyu di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu.

Meskipun menampilkan persembahan bertenaga, kesilapan mudah yang dilakukan jelas menghukum kelab Utara tanah air itu yang tewas dengan keputusan 1-3.

Bagaimanapun, bagi sesetengah penyokong, mutu pengadilan juga merupakan salah satu punca utama skuad The Bos Gaurus (TBG) pulang dengan tangan kosong.

BACA LAGI: Penyakit musim lalu Perak bantu import Piala MFL Terengganu bantai TBG

BACA LAGI: 'Kempunan mata penuh', Haziq Nadzli antara 3 bintang kelab kerdil resahkan Kedah, Pahang dan Terengganu

Keputusan untuk melayangkan kad kuning kedua terhadap bek import, Luiz Henrique Motta beberapa kali dipertikaikan dengan kehilangannya jelas dirasai.

Namun, apa yang lebih sukar diterima pengikut setia Perak FC adalah apabila pengadil enggan membuat semakan menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam insiden melibatkan Manuel Ott.

Bagi mereka, penalti sepatutnya diberikan kerana bola kelihatan terkena tangan pemain kebangsaan Filipina itu, namun ia tidak disedari selain tidak disemak.

Malah, insiden demikian turut menerima perhatian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang berkongsi rakaman kejadian terbabit di laman Facebook TBG Super Fan.

"Tidak berapa jelas sama ada kena tangan atau tidak. Namun, tiada sesi ulang siar VAR pada perlawanan semalam. Jika tidak terkena tangan, bola pasti akan terlepas kepada pemain kita waktu itu.

440933218_433450126063094_553515806015250050_n

Insiden 'handball' itu melibatkan pemain skuad Sang Penyu, Manuel Ott (kanan. Facebook/Terengganu FC

"Kita bukan nak salahkan sesiapa, namun fungsi VAR adalah untuk mengelakkan pertikaian yang ditinggalkan. Disebabkan ramai yang mempersoalkan keputusan pengadil semalam, saya kongsi apa yang boleh kita nampak dari video ini. Kena atau tak kena, tak jelas di mata kita," katanya.

Selain layangan kad merah, perlawanan itu menyaksikan beberapa keputusan yang menjadi topik perbualan hangat, termasuk dua keputusan sepakan penalti buat kedua-dua pasukan.

Namun, dengan kekalahan dialami skuad kendalian Yusri Che Lah, mereka pasti perlu memberi perhatian untuk perlawanan akan datang berdepan PDRM FC di laman sendiri pada 18 Mei.

Bagi Terengganu FC pula, tiga mata yang diraih pastinya akan menyuntik motivasi buat mereka meraih tiga mata berdepan Penang FC di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram