Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO


  • Podium
  • Isnin, 13 Mei 2024

Kira-kira 31 kelab bola sepak tanah air yang mendaftar sebagai kelab domestik berisiko dikenakan hukuman kerana gagal membayar caruman mengikut masa yang ditetapkan.

PELAKSANAAN caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) adalah salah satu tanggungjawab yang perlu dibuat setiap majikan termasuklah kepada pemilik-pemilik kelab bola sepak bagi menjaga kebajikan para pemainnya.

Caruman PERKESO penting untuk dititikberatkan oleh setiap pemilik kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) bagi menjaga kebajikan para pemain dan kakitangan mereka jika ditimpa kemalangan, kecederaan atau lain-lain penyakit.

Bagaimanapun, masih ramai pemilik kelab Liga M yang memandang enteng untuk mencarum PERKESO sehingga menyaksikan kebajikan pemain ataupun kakitangan tidak mendapat perlindungan yang sepatutnya.

BACA LAGI: Pemandu syarikat maut akibat insiden pokok tumbang, waris layak terima faedah PERKESO

BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO

Ketika kebanyakan kelab leka dalam menjalankan tanggungjawab berkenaan, PERKESO mengingatkan bahawa mereka berisiko untuk berdepan tindakan mengikut lunas perundangan.

“Persatuan atau kelab boleh dikenakan penalti sekiranya gagal membayar caruman mengikut masa yang ditetapkan, kompaun jika gagal mendaftar kelab atau persatuan atau pemain dan pekerja.

“Malah, pendakwaan boleh dibuat susulan kegagalan mendaftar dan membayar caruman yang boleh dikenakan hukuman RM10,000 atau penjara dua (2) tahun atau kedua-duanya,” kata PERKESO kepada Majoriti pada baru-baru ini.

Tambahnya, PERKESO akan mengambil tindakan kepada mana-mana kelab berdasarkan kepada peruntukan undang-undang mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) yang meliputi faedah caruman lewat bayar, kompaun dan pendakwaan.

Bagi kelab atau pasukan yang ditimpa masalah dalaman seperti terpalit isu kewangan sehingga mengekang mereka daripada membayar caruman, PERKESO menasihatkan pihak berkenaan untuk mengadakan perbincangan bagi menyelesaikan kemelut sedemikian.

WhatsApp Image 2024-05-12 at 19.59.38

Sebelum ini dilaporkan, kebanyakan kelab bola sepak domestik culas dalam membayar caruman kepada PERKESO. — Facebook/VocketFC

“Tampil berbincang dengan PERKESO bagi menyelesaikan segala permasalahan yang ada dalam memastikan peruntukan undang-undang di bawah Akta yang ditadbir oleh PERKESO dipatuhi sepenuhnya bagi menjamin perlindungan kebajikan pekerja dan orang tanggungannya,” jelasnya.

Berdasarkan pendedahan Majoriti, segelintir daripada 31 kelab ataupun persatuan bola sepak tanah air yang mendaftar sebagai kelab domestik berisiko dikenakan hukuman kerana gagal membayar caruman mengikut masa yang ditetapkan.

Selain situasi kelab bersikap acuh tak acuh dalam mencarum bayaran PERKESO pemain dan kakitangannya, ada juga senario yang menyaksikan sebanyak 15 kelab tidak langsung mengambil peduli perihal kebajikan apabila dikesan tidak mendaftar dengan PERKESO.

Sebanyak 15 pasukan dalam senarai tidak berdaftar dengan PERKESO terdiri daripada sembilan kelab amatur, lima skuad saingan Liga A1 Semi Pro (M3) dan sebuah pasukan dari kejohanan Piala MFL. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram