Pemain utama kurang sengat, trio simpanan balas kepercayaan Tomislav


  • Podium
  • Isnin, 13 Mei 2024

Chukwu (duad dari kanan) meraihkan jaringan golnya bersama rakan sepasukan. — Facebook/TFC

KETUA Jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner sentiasa menegaskan bahawa bola sepak bukannya semata-mata mengenai kesebelasan utama tetapi watak pemain di bangku simpanan turut memainkan peranan penting.

Perkara berkenaan terbukti apabila skuad Sang Penyu meraih kemenangan 3-1 menentang Perak FC dalam perlawanan pembukaan Liga Super di Stadium Sultan Mizan di Gong Badak, Kuala Terengganu, Terengganu pada Sabtu.

Walaupun Tomislav atau Tommy bimbang dengan pemain utamanya yang kurang menyengat ketika menentang skuad The Bos Gaurus (TBG) namun dia memuji pemain gantiannya yang mengubah nasib untuk The Turtles.

BACA LAGI: Kelab Liga M berisiko didenda RM10,000, penjara jika gagal carum secara teratur — PERKESO

BACA LAGI: Terengganu FC enggan 'gelojoh', ambil pendirian realistik

Tomislav memutuskan untuk membawa masuk pemain tengah Nik Sharif Haseefy Lazim dan penyerang Engku Nur Shakir Engku Yacob, Syahmi Zamri dan Nnaboike Chukwu ketika perlawanan sedang menuju keputusan seri.

Kepercayaan Tomislav terhadap pemain simpanan terbayar apabila hantaran lintang Nik Sharif ke dalam kotak penalti ditolak ke gawang sendiri oleh Shivan Pillay pada minit ke-66 sebelum pemain Nigeria, Chukwu menjaringkan gol kemenangan selepas menerima hantaran Syahmi pada minit ke-81.

Pemain antarabangsa Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov terlebih dahulu memberikan Terengganu gol pendahuluan pada minit keenam namun konsistensi permainan mereka tidak bertahan lama sehingga TBG berhasil membolosi gawang TFC.

Walaupun ketua pasukan Perak, Luciano Guaycochea menjaringkan gol menerusi penalti pada minit ke-61 untuk gol penyamaan, trio serangan yang terdiri dari pemain simpanan iaitu Sharif, Shakir dan Chukwu berhasil mengubahnya.

tommy

Tomislav gembira dengan persembahan dari pemain simpanan Terengganu. — Facebook/TFC

“Saya gembira kerana tiga mata diperoleh untuk kami oleh pemain dari bangku simpanan.

“Saya telah memberitahu pemain sebelum perlawanan bahawa pasukan itu bukan mengenai 11 pemain tetapi kami memerlukan bantuan daripada bangku simpanan dan ia berlaku ketika menentang Perak.

“Tiga mata ini sangat penting. Kami tidak pada separuh masa pertama. Ada masanya kami kelihatan seperti satu pasukan tetapi selepas itu para pemain kelihatan letih, terlalu perlahan dan tidak berkualiti.

“Bagaimanapun, Sharif, Shakir, Syahmi dan CJ (Chukwu) mencipta sesuatu apabila mereka masuk dan kami menjaringkan dua gol," katanya yang gembira dengan sumbangan dari pemain simpanan Terengganu.

Chukwu yang dibawa masuk bagi menggantikan ketua pasukan, Safawi Rasid itu bermain untuk Terengganu II pada musim lepas. Tomislav mengharapkan lebih banyak sumbangan daripada pemain gantiannya dalam Liga Super musim ini.

Sementara itu, jurulatih Perak Yusri Che Lah berkata, anak buahnya mengawal permainan sehingga Luiz Henrique menerima arahan keluar padang selepas menerima kad kuning kedua dalam perlawanan itu.

"Kami bermain dengan baik, berada dalam perlawanan apabila kami menjaringkan gol penyamaan tetapi kad merah kepada Henrique membunuh kami.

“Pada kedudukan 1-1, kami sepatutnya mengawal perlawanan dan mengelak kesilapan. Kami akan meningkatkan prestasi kami dalam perlawanan seterusnya," jelasnya.

Perak akan melayan kunjungan PDRM FC di Ipoh, Perak pada 18 Mei manakala Terengganu akan menentang Pulau Pinang pada 19 Mei. — The Star

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram