[VIDEO] Kesilapan bersama, bukan hanya pada Haziq Nadzli sahaja — Zainal Abidin


  • Podium
  • Ahad, 12 Mei 2024

Haziq (berjersi jingga) dipersalahkan atas kealpaannya dalam mengawal benteng ketika gol kedua tuan rumah. — Facebook/Perak FC

PERSIAPAN demi persiapan yang dibuat sepanjang pramusim tidak membuahkan hasil buat Perak FC yang mengalami kekalahan dalam aksi pembukaan Liga Super 2024/25.

Mereka yang bertandang ke Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu pada Sabtu tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 1-3.

Penyokong pastinya kecewa akan skor tersebut meskipun rata-rata daripada mereka yang menyaksikan perlawanan tersebut berpuas hati dengan pendekatan diambil pengendali, Yusri Che Lah.

BACA LAGI: Penyakit musim lalu Perak bantu import Piala MFL Terengganu bantai TBG

BACA LAGI: Haziq, Ramadhan buat fans TBG tersenyum, bikin Yusri pening pilih keeper no 1 Perak

438095988_454631033783944_3122997304456631684_n

Skuad TBG perlu bangkit selepas tercicir tiga mata dalam aksi pembukaan. Facebook/Perak FC

Namun, kesilapan benteng pertahanan menyaksikan mereka dibolosi sebanyak tiga kali dalam aksi tersebut, sekali gus mengesahkan kekalahan buat pertama kali musim ini.

Kealpaan itu bagaimanapun sukar dilupakan penyokong dengan penjaga gol pinjaman, Haziq Nadzli menjadi sasaran utama atas kekecewaan itu.

Tetapi, bagi legenda bola sepak tanah air, Datuk Zainal Abidin Hassan, kesalahan tidak boleh diletakkan di bahu pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) berkenaan.

Menurutnya, barisan pertahanan skuad The Bos Gaurus (TBG) secara keseluruhan perlu bertanggungjawab atas kekalahan dialami di tempat lawan.

"Kesilapan pertama adalah mereka agak leka. Yang kedua, membenarkan hantaran lintang dibuat. Yang ketiga pula, adalah Haziq tertampan sendiri dan gol sendiri.

"Bagi saya, jika Haziq lebih berhati-hati, dia masih boleh menyelamatkan keadaan supaya tidak menampan bola keluar dan terkena Shivan Pillay," katanya.

Komen itu dibuat ketika mengulas jaringan kedua Terengganu FC yang menyaksikan hantaran Nik Sharif Haseefy gagal dibuang lebih kemas sebelum ia mengenai bek tengah muda itu.

Kesilapan berkenaan jelas mengundang padah apabila skuad Sang Penyu meraih momentum lebih baik sebelum Chukwu Chijioke menjaringkan gol ketiga tuan rumah.

Haziq semestinya mahu melupakan penampilan pertamanya buat skuad TBG dalam Liga Super sejak mengesahkan perpindahan secara pinjamannya ke kelab itu dari JDT.

Bagi Shivan pula, dia yang tertampan bola ke gawang sendiri pasti akan bangkit selepas meraih kepercayaan daripada Yusri sepanjang musim lalu.

Skuad TBG secara keseluruhan juga pasti akan menggunakan kekalahan itu untuk beraksi lebih baik dalam aksi kedua Liga Super 2024/25 ketika berdepan PDRM FC di laman sendiri pada 18 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram