Pernah 'trial’ dengan JDT, bakat Daniel semakin terserlah di Dubai


  • Podium
  • Selasa, 14 Mei 2024

Daniel (bawah, dua dari kiri) sudah diberikan debut dalam divisyen ketiga bola sepak di UAE selepas beberapa bulan di negara itu.

SATU cabaran hebat perlu ditempuhi mana-mana pemain tempatan yang bercita-cita besar untuk mengembangkan bakat karier dalam dunia bola sepak di luar negara.

Perbezaan dari segi gaya hidup, termasuk pemakanan dan latihan sering menyekat hasrat mereka yang sekali gus membuatkan mereka cenderung untuk terus beraksi dalam negara.

Bagaimanapun, masalah itu tidak menyekat pemain muda, Daniel Nga untuk mengambil langkah berani dalam awal kariernya apabila kini bermain di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

BACA LAGI: Akademi JDT bukan isu besar... Ibu bapa, guru yang tak puas hati anak tak terpilih MSSM'

BACA LAGI: Perancangan TMJ mula menjadi, Akademi JDT tunjuk taring 'bantai' FC Barcelona

f02a84dd-3d70-4396-84b5-6fdae2de0c86

Daniel mengembangkan sayap bakatnya dengan menyertai TFA Elite di UAE.

Menurutnya, dia merupakan satu-satunya pemain yang terpilih daripada 150 peserta yang hadir ketika sebuah kelab di negara tersebut, TFA Elite datang ke Kuala Lumpur untuk mencari bakat tahun lalu.

"Saya dilahirkan dan dibesarkan di Perth, Australia. Tetapi, keluarga kami sering meraikan perayaan Hari Natal di Malaysia dan menetap di situ untuk beberapa minggu.

"Karier bola sepak saya dimulakan melalui sistem pembangunan bola sepak Australia sehingga saya berada dalam kategori Bawah 18 Tahun (B-18) dan Bawah 20 Tahun (B-20)," katanya kepada Majoriti.

Setelah beberapa tahun menimba ilmu di Australia, Daniel kemudiannya mengambil keputusan untuk datang ke Malaysia demi mendapatkan peluang secara profesional.

Keputusan tersebut membuahkan hasil apabila pada 2023, dia ditawarkan sesi percubaan bersama akademi Johor Darul Ta'zim (JDT) dan meluangkan masa di Selatan tanah air.

"Saya menyertai JDT IV pada Jun 2023 dan selepas dua minggu dengan kelab itu, sesi percubaan saya membuahkan hasil. Namun, kami tidak dapat melengkapkan proses pendaftaran kerana jendela perpindahan hampir ditutup," katanya lagi.

WhatsApp Image 2024-05-14 at 15.28.29

TFA Elite memberikan penekanan untuk mengembangkan bakat dari pelbagai pelusuk dunia.

Jadi, setelah gagal memeterai perpindahan itu, pemain berusia 18 tersebut kemudiannya mengambil keputusan menyertai sesi penilaian bakat dianjurkan TFA Elite.

Sejak itu, Daniel dibawa ke UAE untuk beraksi dalam skuad simpanan sebelum diberikan debut bersama pasukan utama yang kini berada dalam Divisyen Ketiga Persatuan Bola Sepak (FA) UAE.

Malah, kepercayaan diberikan terhadapnya membuahkan hasil setelah dia menjaringkan gol dalam salah satu perlawanan dengan gol itu sudah tentu menaikkan lagi reputasinya.

Ketika ditanya mengenai pilihan untuk beraksi di dalam atau luar negara, pemain itu memasang cita-cita besar untuk beraksi di Eropah, namun tidak menolak peluang menyertai pasukan Liga Super.

"JDT merupakan sebuah kelab yang saya mahu untuk sertai pada masa akan datang. Mereka amat profesional, dan Tunku Ismail Idris sudah melakukan kerja cukup baik untuk membangunkannya.

"Tetapi, saya memilih untuk menunggu mereka kerana saya mahu peluang dalam pasukan utama untuk mendapatkan pengalaman dan minit permainan. Saya berusaha keras untuk mendapatkan pengalaman tertinggi di Eropah.

"Saya baru sahaja berusia 18 tahun dengan harapan untuk berkembang dalam bola sepak di Eropah. Saya masih mahu bermain dalam negara, namun mungkin selepas pulang berkelana di luar dan saya juga mahu mewakili Malaysia pada masa akan datang," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram