Perancangan TMJ mula menjadi, Akademi JDT tunjuk taring ‘bantai’ FC Barcelona


  • Podium
  • Ahad, 17 Sep 2023

Antara aksi perlawanan antara skuad muda JDT dan FC Barcelona baru-baru ini. — Facebook/JDT

HARI demi hari perancangan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim semakin menunjukkan hasilnya selepas Akademi JDT berjaya menewaskan kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona dalam kejohanan Puma Youth Champion League di Singapura.

TMJ yang sering menekankan supaya setiap kelab dalam Liga Malaysia (Liga M) mempunyai akademi sendiri berjaya membuktikan hasilnya menerusi pemain-pemain seperti Aysar Hadi Shapri, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhd Feroz Baharudin dan ramai bintang muda sudah menembusi skuad utama Harimau Selatan.

Skuad muda JDT itu berjaya menewaskan Akademi FC Barcelona (Singapura) dengan keputusan 5-1 yang mana ia memberi 'signal' bahawa 10 tahun akan datang Harimau Selatan sudah boleh mula menjimatkan jutaan ringgit untuk merekrut pemain dari pasukan lain.

JDT-FCB

Skuad muda JDT menewaskan FC Barcelona dengan keputusan 5-1 baru-baru ini. Facebook/JDT

Sebelum ini, Akademi JDT mencipta kejayaan yang luar biasa apabila dinobatkan selaku juara dalam kejohanan Garuda International Cup pada Julai lalu.

Akademi JDT juga berjaya mengecapi 14 kejuaraan domestik dan antarabangsa sejak 2018.

Namun kejayaan akademi yang diilhamkan oleh TMJ itu bukanlah datang sekelip mata tanpa fasiliti dan pendedehan bola sepak moden yang diterapkan di setiap peringkat sistem kelab selatan tanah air itu.

JDT juga menjalin kerjasama dengan beberapa pasukan gergasi Eropah seperti Borussia Dortmund (BVB), Juventus FC dan Valencia CF.

Fasilit JDT

Antara fasiliti yang disediakan oleh JDT untuk pelatih akademi. Facebook/JDT

Dengan kejayaan skuad muda JDT dalam menewaskan FC Barcelona (Singapura) rata-rata ekor Harimau Selatan memberikan respons positif terhadap perkembangan pemain-pemain itu.

"Tahniah dan 'keep it up guys', satu perlaburan yang sangat baik oleh JDT. Satu inisiatif terbaik kelab dalam pembangunan dan pelestarian bola sepak negeri serta negara untuk masa hadapan," kata Radzi Abdul Rashid.

"Kekalkan pemain-pemain JDT ini dalam satu pasukan yang sama sehingga umur bawah 23 tahun, berikan mereka latihan secukupnya.

"Lengkapkan keserasian mereka dan beri peluang pendedahan perlawanan bertahap tinggi, pasti JDT akan terus menjadi juara," jelas Nizam Kojam.

"Harap empat atau lima tahun lagi mereka dapat main untuk negara," luah Ijam Abd Rahman.

"Tahniah, jangan cukup puas dengan keputusan sekarang. Kena tingkat lagi skil dan 'fitness' untuk cabaran masa hadapan," ujar Fahmi Nama Ku.

Antara trofi yang pernah dibawa pulang Akademi JDT ke ruang kabinet pasukan itu ialah Laliga Youth Tournament anjuran Badan Liga Bola Sepak Sepanyol, Milo Challenger Cup dan Yakult Aidil Zaquan Cup pada 2022. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram