'Akademi JDT bukan isu besar... Ibu bapa, guru yang tak puas hati anak tak terpilih MSSM'


  • Podium
  • Rabu, 07 Sep 2022

MSS Johor mengungguli kejohanan MSSM 2022 yang berlangsung di Kedah. — Facebook JDT

DAKWAAN mengenai penglibatan Akademi Johor Darul Takzim (JDT) dalam kejohanan bola sepak Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) 2022 tidak putus-putus menjadi bualan hangat peminat sukan no.1 negara itu di media sosial.

Isu berkenaan hangat diperkatakan apabila difahamkan penyertaan dari Akademi JDT ke kejohanan kebangsaan itu hanya menjejaskan peluang pemain sekolah biasa untuk menunjukkan bakat masing-masing dalam sukan bola sepak.

Malah, berdasarkan laporan dari Majoriti sebelum ini juga beberapa penyokong bola sepak tanah air tidak bersetuju dengan penyertaan akademi berkenaan sehingga dikatakan ia akan merosakkan pencarian bakat pada peringkat akar umbi negara.

Begitupun penganalisis sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berasakan ia tidak mendatangkan masalah walaupun akademi JDT turut serta dalam MSSM selagi mereka tidak melanggar peraturan yang ditetapkan.

Menurutnya, perkara tersebut tidak mustahil menjadi isu adalah berkemungkinan disebabkan terdapat ibu bapa atau guru yang tidak berpuas hati apabila anak dan murid masing-masing tidak terpilih mewakili Johor ke kejohanan MSSM.

jdtc

Sebahagian pemain yang mewakili pasukan Johor ke kejohanan MSSM. — Facebook JDT

"Bagi saya kalau dia mewakili akademi JDT ataupun apa-apa saja dia tetap wakil pasukan Johor. Yang kedua ialah adakah dia melanggar peraturan kejohanan ataupun tidak.

"Jika tidak dan pemain-pemain akademi pun bersekolah di Johor, jadi tiada masalah. Paling penting adalah pemain berkenaan merupakan pemain terbaik di negeri Johor.

"Kita tak tahu masalah ini jadi mungkin ibu bapa yang tak puas hati anaknya atau muridnya tidak terpilih," katanya kepada Majoriti.

Malah, Pekan turut berpendapat adalah kurang sesuai jika menyatakan penyertaan pemain dari akademi berkenaan bakal menutup peluang ubi muda sekolah lain kerana pemilihan kontinjen pasti akan berlaku.

Dalam pada itu, penganalisis sukan itu juga berkata, bahawa peluang bermain di peringkat MSSM juga adalah satu-satunya cara untuk bintang muda menyerlahkan bakat mereka dan pastinya pemain di akademi itu tidak akan melepaskan peluang.

jdt4

MSS Johor menang 3-1 ke atas MSS Selangor menerusi penentuan penalti kategori B-18. — Facebook JDT

"Jika nak cakap akademi ada platform lain, rasanya tak.... sebab beberapa negeri saja yang ada akademi. Setahu saya akademi, tiada kejohanan khusus. Hanya MSSM yang jadi platform.

"Dari segi akar umbi pun tidak akan kacau kerana pemain yang dipilih dari kalangan pelajar sekolah juga," jelasnya.

Kontinjen selatan tanah air itu menguasai pelbagai peringkat kategori apabila pasukan B12 MSS Johor bergelar juara selepas menewaskan pasukan MSS Perlis 2-1, manakala B18 MSS Johor juga merangkul gelaran sama apabila menang 3-1 ke atas MSS Selangor menerusi penentuan sepakan penalti.

Skuad B15 MSS Johor pula terpaksa berpuas hati di tempat ketiga apabila menundukkan MSS Pahang 5-0 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram