AKADEMI Johor Darul Ta'zim (JDT) sememangnya berada dalam kelas tersendiri berbanding akademi bola sepak lain di Malaysia apabila menjadi satu-satunya kelab yang menawarkan latihan, pendidikan dan penginapan buat pelatihnya.
Perkara berkenaan membuktikan skuad Harimau Selatan antara pasukan terbaik dalam negara yang mencungkil bakat pemain muda. Malah, pemain yang lahir dari Akademi JDT juga mampu bersaing untuk mendapatkan tempat dalam saingan Liga Super.
Antara pemain Akademi JDT yang kini sudah mula mewakili Harimau Selatan di saingan Liga Super ialah Aysar Hadi Shapri, Adam Farhan Mohd Faizal, Muhd Feroz Baharudin, Daryl Sham dan ramai bintang muda lain.
Menarik mengenai Kumpulan Pencari Bakat dan Pembangunan Belia JDT yang diketuai oleh Diego Griffa, mereka berusaha untuk merekrut bakat-bakat baharu dari seluruh negeri bagi memperkasakan lagi akademi berkenaan.
Antara ubi muda yang sudah berhasil menarik minat Harimau Selatan ialah Jeremy Datoon. Anak jati Keningau, Sabah itu dipanggil untuk menyertai Akademi JDT selepas cemerlang bermain bersama Sekolah Sukan Negeri Sabah pada tahun lepas.
Selepas hampir lima bulan di Akademi JDT, Jeremy atau lebih dikenali sebagai 'Haaland Keningau' itu difahamkan sudah terpilih untuk mewakili Malaysia Bawah 16 (B-16) Tahun bersama 24 pemain untuk ke Kejohanan Asean B-16 di Indonesia pada Jun nanti.
BACA LAGI: Muncul top scorer di Sepanyol, Ramadhan sesuai jadi gang Bergson
25 pemain B-16 yang dipilih ke Kejohanan Asean B-16 di Indonesia.
BACA LAGI: FFP tidak impak JDT, Selangor dan TFC tapi belum tentu selesai isu tunggakan gaji
Perkembangan terbaharu mengenai pemain berusia 16 tahun itu dikongsikan oleh bekas jurulatihnya iaitu Naimmi Yusof di laman Facebook pada Rabu.
"Menerima perkhabaran gembira. Masih ingat tak adik Jeremy aka 'Haaland Keningau'. Yang Amy (Naimmi Yusof) hantar ke SSN Sabah dan dari SSN Sabah dibawa ke JDT. Kini dia terpilih untuk mewakili Malaysia B-16 untuk Kejohanan Asean B-16 di Indonesia pada Jun nanti.
"Jurulatih doakan segalanya dipermudahkan. Ini peluang keemasan untuk kamu dalam meningkatkan lagi karier bola sepak profesional kamu. Jurulatih bangga dengan kamu. Tahniah Jeremy.
"Seluruh warga Tulid, seluruh warga Keningau dan seluruh warga Sabah pasti berbangga dengan kamu. Doa kami semua sentiasa mengiringi kamu. Tahniah Haaland," tulisnya.
Dalam pada itu, kejayaan Jeremy yang berhasil mewakili Malaysia membuktikan Akademi JDT merupakan platform terbaik untuk mengembangkan ubi muda tanah air.
Namun, kejayaan akademi itu bukanlah datang sekelip mata tanpa fasiliti dan pendedahan bola sepak moden yang diterapkan di setiap peringkat sistem kelab selatan tanah air itu.
JDT juga menjalin kerjasama dengan beberapa pasukan gergasi Eropah seperti Borussia Dortmund (BVB), Juventus FC dan Valencia CF. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram