KANCAH bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita menyayat hati apabila pemain sayap Selangor FC, Faisal Halim disimbah asid oleh individu yang tidak dikenali.
Insiden itu dilaporkan berlaku di sebuah pusat beli belah terkemuka tanah air di Kota Damansara, Petaling Jaya pada Ahad.
Dalam perkembangan terbaru, peminat bola sepak tanah air terutamanya penyokong Gergasi Merah boleh menarik nafas lega apabila tonggak Harimau Malaya itu terus menunjukkan reaksi positif dari segi proses pemulihan selain menyatakan hasrat mahu pulang.
BACA LAGI: Doakan Faisal Halim kembali sembuh — Isteri
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah
Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid pada Ahad. — Facebook/SSFC
Insiden tersebut mencetuskan pelbagai spekulasi termasuk dakwaan ada pihak kurang senang dengan sikap Faisal yang lebih mesra digelar sebagai Mickey.
Sebelum kejadian, Faisal terpalit beberapa kontroversi termasuk yang paling popular apabila dia menyatakan ada pihak mahu melihat Selangor FC jatuh.
Akibatnya, pemain kelahiran Pulau Pinang itu digantung lima perlawanan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selain dikenakan denda.
Namun kejadian tragis yang menimpanya baru-baru ini, membuka mata banyak pihak tentang betapa kerdil dan merendah dirinya Faisal jika mengambil kira latar belakangnya.
Malah ada beberapa momen yang dikongsikan di media sosial menunjukkan keadaan keluarga Faisal yang serba sederhana sebelum dia menjadi bintang bola sepak yang disegani di tanah air.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga kebaikan tonggak Selangor FC yang jarang menjadi sebutan orang.
1. Beli ayah kereta baharu
Disifatkan sebagai pemain lincah setiap kali mengawal bola di atas padang, Faisal tidak lupa tanggungjawabnya sebagai seorang anak.
Tahun lalu, tonggak Harimau Malaya dilaporkan menghadiahkan sebuah kereta baharu buat ayah tercinta.
Pemain berusia 26 tahun itu membeli sebuah kereta jenama Proton X50 sebagai tanda balas budi kepada keluarga.
Menariknya, acara penyerahan kereta tersebut dibuat selepas tamat aksi Selangor berdepan Kedah Darul Aman FC di Stadium Negeri, Batu Kawan, Pulau Pinang dalam kejohanan empat penjuru Piala Harapan 2023.
Faisal yang mengiringi ayahnya keluar dari stadium menuju ke kereta baharu turut ditemani oleh barisan pemain dan kejurulatihan Selangor.
2. Bagi duit raya kepada fans
Bintang sensasi The Red Giants itu terus melakar momen sendiri apabila meluangkan masa bertemu penyokong Gergasi Merah di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Selangor.
Usai perlawanan Selangor KUSEL Asia Challenge 2024, pemain sayap skuad kebangsaan itu sempat menghulurkan duit raya kepada peminat-peminat ciliknya dengan sampul ekslusif miliknya.
Tindakan sederhana pemain berketinggian 1.58 meter itu disifatkan sangat pemurah dan menghargai peminat.
Faisal terkenal dengan sifat pemurah kerana sebelum ini turut mencuri tumpuan apabila berkongsi rezeki kepada penyokongnya dengan memberi bunga api sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri 2023.
Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim ditubuhkan untuk mencari bakat baharu. — Facebook
3. Ada kelab bola sepak sendiri
Faisal memulakan karier bola sepaknya sejak di bangku sekolah lagi apabila menyertai Soccer Kids musim ketiga.
Selain itu, Mickey mencipta sejarah sendiri apabila terpilih untuk melawat ke Akademi Tottenham Hotspur di United Kingdom.
Bukan itu sahaja, penyertaannya dalam program realiti Mencari Ramli membuka peluang kepadanya untuk dibawa ke Old Trafford dan berlatih bersama-sama pemain Manchester United.
Kejayaannya dalam bola sepak dapat diterjemah menerusi penubuhan Kelab Bola Sepak DNA Faisal Halim.
Kelab tersebut ditubuhkan bagi mencari bakat baharu dan melahirkan lebih ramai pemain seperti dirinya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram