Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Penjaring terbanyak tempatan Liga Super musim lalu itu dikhabarkan sudah mula makan makanan berbentuk cecair dan masih berada di bawah pemerhatian rapi untuk tempoh yang tidak diketahui.

KEJADIAN malang menimpa penyerang sayap kebangsaan, Faisal Halim baru-baru ini dapat liputan meluas daripada semua pihak sehingga beberapa individu penting dan persatuan tampil menghulurkan bantuan buat pemain Selangor FC berkenaan.

Misalnya, Institut Sukan Negara (ISN) memberi jaminan akan menanggung sepenuhnya kos pemulihan Faisal yang mengalami kecederaan akibat disimbah asid di sebuah pusat beli-belah dekat Damansara, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyatakan yang ISN akan merangka satu program khas untuk membantu proses pemulihan Faisal sebelum dia boleh kembali beraksi di padang kelak.

BACA LAGI: Lagi suspek ditahan, tangan kiri Faisal Halim tiada reaksi, percakapan terbatas

BACA LAGI: Doakan Faisal Halim kembali sembuh — Isteri

Selepas ISN, Raja Muda Selangor (RMS) merangkap Pengerusi Selangor FC, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah turut perkenan menanggung kos rawatan Faisal untuk memastikan dia mendapat rawatan yang terbaik.

Terbaharu, giliran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) pula memberi kesediaan dari segi bantuan rawatan awal ataupun pemulihan yang diperlukan oleh Faisal bagi membantu pemain kelahiran Mengkuang Titi, Pulau Pinang berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed menjelaskan bahawa disiplin Selangor FC dan Red Giants FC Sdn Bhd dalam mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 ( Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 ( Akta 800) menjadi faktor besar Faisal layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan.

Jenis bantuan rawatan awal dan pemulihan bagaimanapun akan dirangka selepas PERKESO mendapat maklumat terkini keadaan Faisal daripada pihak hospital.

DATUK SERI DR MOHAMMED AZMAN AZIZ MOHAMMED

Dr Mohammed Azman menjelaskan bahawa Faisal layak mendapat perlindungan sosial daripada PERKESO.

“Semakan mendapati caruman untuk Selangor FC menggunakan nama Red Giants FC SDN.BHD. adalah teratur sehingga caruman terkini April 2024.

“Faedah yang akan diterima akan diketahui selepas pihak PERKESO menerima laporan lengkap berhubung kejadian yang menimpa beliau.

“Memandangkan keadaan OB (Orang Berinsurans) yang memerlukan pemerhatian atau rawatan rapi tidak membenarkan sesiapa untuk menemui OB buat masa ini.

“Walaubagaimanapun pihak PERKESO akan berusaha untuk mendapatkan maklumat daripada pihak majikan / Red Giants FC SDN.BHD. berhubung insiden ini.

“Secara dasarnya, beliau layak menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana beliau mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan ,” katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-05-09 at 21.47.34

Keadaan Faisal selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali pada Ahad lalu.

Dr Mohammed Azman menjelaskan, Skim Bencana Pekerjaan yang disediakan PERKESO menerusi Akta 4 adalah bagi memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan yang berpunca atau terbit dari pekerjaannya.

Katanya, Skim Keilatan yang diperuntukkan menerusi akta sama pula adalah perlindungan 24 jam kepada pekerja dari keilatan atau kematian akibat dari sebarang sebab yang tidak berkaitan dengan pekerjaan.

“Keperluan bantuan rawatan awal dan pemulihan berbentuk jasmani dan vokasional yang boleh diberikan kepada Faisal seperti contoh pembedahan rekonstruktif atau fisioterapi ,” jelasnya yang memberitahu faedah Skim Keilatan ditawarkan kerana ketika kejadian, calon Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023 itu meluangkan masa bersama keluarganya sebelum dihampiri dua individu bermotosikal tidak dikenali.

Untuk info, pencarum di bawah Akta 4 layak dilindungi di bawah Skim Bencana Pekerjaan dan Skim Keilatan mengikut kelayakan yang ditetapkan.

Manakala untuk makluman, Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) pula perlindungan kepada pencarum sekiranya kehilangan pekerjaan iaitu Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Bekerja Semula Awal, Elaun Pendapatan Berkurangan, Elaun Latihan, Pembiayaan Fi Latihan dan Penempatan Pekerjaan & Kaunseling Kerjaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram