PROFESION sebagai seorang pemain bola sepak di tanah air tidak selamanya diisi dengan cerita yang indah-indah kerana hampir setiap musim ada sahaja kemelut kewangan membelenggu kelab Liga Malaysia (Liga M).
Masalah kewangan menjadi antara titik hitam melanda kelab Liga M apabila terbongkar kes tunggakan gaji dan terkini, rekod Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapati ada majikan dalam kalangan kelab bola sepak yang culas mencarum.
Tidak perlu mengimbas insiden beberapa tahun lalu, sebaliknya pada musim sebelum ini sahaja menyaksikan ada kelab ternama di Pantai Timur yang terpalit dengan masalah kewangan sehingga pemainnya tidak mendapat layanan sepatutnya.
BACA LAGI: Red Giants mencarum secara teratur, Faisal Halim layak terima rawatan hingga sembuh — PERKESO
BACA LAGI: PERKESO tak ketepi golongan terpinggir, buka lebih banyak ruang pembangunan karier masyarakat
Insiden sedemikian seharusnya menjadi iktibar kepada kelab Liga Super lain selepas berdepan isu kewangan sehingga dikesan tidak menghantar bukti resit bayaran ansuran caruman mengikut jadual yang ditetapkan PERKESO untuk tempoh tunggakan sehingga Ogos 2023.
Hakikatnya, bukan hanya skuad berkenaan yang tidak menjaga kebajikan pemain, malahan berdasarkan rekod PERKESO mendedahkan tindakan kebanyakan kelab bola sepak domestik culas dalam mencarum kepada organisasi berkenaan.
Berdasarkan isu semasa, caruman kepada PERKESO tidak boleh dipandang enteng oleh majikan kerana ia boleh memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan yang berpunca atau terbit dari pekerjaannya.
Kes simbah asid yang menimpa pemain Selangor FC, Faisal Halim misalnya menunjukkan tahap disiplin Red Giants FC Sdn Bhd dalam mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800) menjadi faktor besar pemain negara itu sekaligus layak mendapat perlindungan sosial daripada agensi keselamatan sosial berkenaan.
Walaupun kejadian itu berlaku di luar waktu kerja namun penyerang sayap kebangsaan itu boleh menerima bantuan rawatan awal dan pemulihan kerana majikannya mencarum di bawah Akta 4 PERKESO bagi kedua-dua Skim iaitu Bencana Pekerjaan dan Keilatan.
Menurut PERKESO, rekod pendaftaran dan pembayaran caruman persatuan serta kelab bola sepak kebiasaannya adalah tidak teratur.
"Berdasarkan rekod sehingga ke hari ini, dianggarkan sebanyak 31 kelab atau persatuan yang bermain dalam Liga Super, Liga Perdana dan saingan Liga A1 Semi Pro melibatkan 2,820 pemain atau pekerja tempatan dan 258 pemain atau pekerja asing pernah mendaftar dan mencarum dengan PERKESO.
"Namun caruman persatuan atau kelab bola sepak di tanah air adalah tidak teratur," kata PERKESO kepada Majoriti baru-baru ini.
Kebanyakan kelab bola sepak domestik culas dalam membayar caruman kepada PERKESO. — Facebook/MFL
Walaupun begitu, PERKESO nyata tidak berdiam diri terhadap kelab yang culas apabila 31 kelab itu dalam tindakan susulan bersama Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Jelasnya, bagi mengelak setiap kelab leka dalam menjalankan tanggungjawab, pihak PERKESO akan memberi notis peringatan dengan menghantar notis peringatan secara berkala setiap bulan kepada majikan untuk membuat caruman bulanan secara sistematik.
"Selain notis peringatan, pegawai pemeriksa PERKESO akan berurusan dengan pihak majikan berkaitan ketidakpatuhan yang berlaku," ujarnya yang menambah setakat ini pengurusan kelab bola sepak memberi kerjasama kepada PERKESO.
Selangor FC antara yang disiplin mencarum kepada PERKESO. — Facebook/SelangorFC
Selain kelab bersikap acuh tak acuh dalam mencarum bayaran PERKESO pemain dan kakitangannya, sebanyak 15 kelab Liga M pula dikesan tidak tersenarai dalam rekod pendaftaran.
Sebanyak 15 pasukan dalam senarai tidak berdaftar dengan PERKESO terdiri daripada sembilan kelab amatur, lima skuad saingan Liga A1 Semi Pro (M3) dan satu pasukan melibatkan kejohanan Piala MFL.
"Hasil rujukan kami melalui laman sesawang kelab atau persatuan bola sepak terlibat, sebanyak 15 pasukan masih belum berdaftar dengan PERKESO," jelasnya.
Dalam kalangan 15 pasukan berkenaan, sebuah kelab mempunyai reputasi tersendiri apabila pernah dinobat juara Liga A1 Semi Pro dan pernah dipertimbangkan untuk memasuki saingan Liga Super. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram