[VIDEO] 'Mana VAR?' Ifedayo nasib baik terlepas hukuman tendang Rizal Ghazali


  • Podium
  • Ahad, 12 Mei 2024

Rizal (kiri) dan Ifedayo terlibat dalam satu insiden hangat di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu.

PENGENALAN teknologi video bantuan pengadil (VAR) dalam kancah bola sepak tanah air membawa kegembiraan baharu kerana rata-rata penyokong teruja untuk melihat penggunaannya.

Ini dapat disaksikan sepanjang tempoh pramusim apabila beberapa perlawanan diadakan untuk mencuba penggunaannya selain memberi peluang buat pengadil merasai pengalaman menggunakannya.

Bagaimanapun, dalam perlawanan pembukaan Liga Super 2024/25, teknologi tersebut sudah menerima respons kurang baik daripada penyokong.

BACA LAGI: TMJ 'basuh' penyokong kritik pemain HM, sempat perli kalau sayang vc dengan Brendan Gan

BACA LAGI: Tiada VAR tak halang Tok Gajah kutip 3 mata penuh, Hidalgo muncul wira

439881608_451815500573772_256351824048398647_n-681x454

Penggunaan VAR dalam arena bola sepak tanah air masih belum cukup memuaskan.MFL

Dalam aksi pembukaan antara Kedah Darul Aman (KDA) FC dan PDRM FC, pemasangan VAR dipertikaikan kerana pengadil gagal memanfaatkannya untuk memastikan perlawanan di Stadium Selayang, Selangor pada Sabtu berjalan lancar.

Insiden melibatkan penyerang skuad Sang Saka Biru, Ifedayo Olusegun dan bek pasukan pelawat, Rizal Ghazali dijadikan bahan bualan hangat mengenai sistem tersebut.

Ketika Rizal terduduk, penyerang dari Nigeria itu kelihatan menendang lembut kaki lawannya berkenaan yang kemudiannya menyebabkan bekas pemain kebangsaan tersebut berang akan tindakannya.

Mereka terpaksa dileraikan rakan sepasukan dalam usaha mengelakkan pertelingkahan lebih teruk berlaku, namun pengadil enggan mengambil sebarang tindakan terhadap Ifedayo.

Jadi, tidak hairanlah apabila rata-rata penyokong Hijau Kuning mula mempersoalkan tujuan pemasangan VAR dalam arena bola sepak tempatan.

"Memang nampak pengadil ada minta petugas VAR untuk semak, tetapi tiada tindakan. Buat apa pasang jika tidak guna? Insiden 'off ball' ini kadang-kadang boleh jadi punca pergaduhan," kata Ariff Ahmad.

"Ada VAR pun seperti tiada. Ini kalau bukan kad merah, berilah sahaja kad kuning, jadi lah. Tetapi, kalau Rizal pandai berlakon, mungkin kena buang padang Ifedayo," kata Amirul Omar.

"VAR cap ayam, itu sahaja saya nak katakan. Usaha bawa untuk guna tu bagus dah tapi masih lambat untuk digunakan," kata Sarud Ruud.

Bagaimanapun, rasa kurang senang penyokong skuad Sang Kenari tidak berpanjangan apabila mereka berjaya merekodkan tiga mata daripada perlawanan itu.

Jaringan daripada penyerang pinjaman, Syafiq Ahmad seawal minit pertama sudah cukup untuk memastikan kemenangan berpihak kepada kelab Utara tanah air berkenaan.

Skuad kendalian Nafuzi Zain akan bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor selepas ini untuk bertemu Selangor FC sementara PDRM FC akan berdepan Perak FC di laman lawan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram