Belum sempat debut Liga Super, dah dengar khabar angin import baharu JDT kena 'loan' ke kelab luar


  • Podium
  • Isnin, 13 Mei 2024

Aksi pembukaan antara JDT dan Gergsasi Merah namun ia tidak diadakan berikutan keputusan pihak pelawat untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat. — Facebook/JDT

SAINGAN Liga Super sudah membuka tirainya pada Sabtu lalu dengan menyaksikan sebanyak enam perlawanam disajikan buat peminat bola sepak tanah air dengan setiap daripadanya menyajikan keterujaan tersendiri.

Manakala, pada Ahad pula menyaksikan aksi antara Sabah FC dan Penang FC yang berakhir dengan keputusan seri tanpa jaringan serta perlawanan Kuala Lumpur (KL City) FC menentang Kuching City berkesudahan seri 1-1.

Setakat ini, hanya Negeri Sembilan FC (NSFC), Selangor FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) secara rasminya belum memulakan perlawanan dengan ketiga-tiganya dijadualkan akan memulakan aksi pertama pada minggu ini.

BACA LAGI: Heberty Fernandes 'kempunan' aksi Piala Sumbangsih, antara 3 import otai Liga M

BACA LAGI: Magis 2022, kehilangan Bergson-Roonie jadi 4 momen getir pertembungan epik JDT-Selangor

Untuk info, aksi pembukaan sepatutnya menyaksikan pertembungan antara Harimau Selatan dan Gergsasi Merah namun ia tidak diadakan berikutan keputusan pihak pelawat untuk tidak hadir ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.

Alasan yang diberikan adalah kerana pasukan Lembah Klang berkenaan tidak mahu terdedah kepada isu keselamatan susulan serangan simbah asid dialami penyerang sayap mereka, Faisal Halim.

Tindakan untuk memboikot perlawanan itu mendesak Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menghadiahkan kemenangan buat JDT di samping menobatkan mereka sebagai juara Piala Sumbangsih.

Kemenangan percuma itu juga disambut dengan sederhana dengan memuat naik gambar skuad Harimau Selatan bersama Tunku Mahkota Ismail di Stadium Sultan Ibrahim di laman sosial rasmi kelab, dengan kapsyen 'Kami di sini! Piala nombor 27'.

Selain dihujani dengan ucapan tahniah daripada penyokong JDT, segelintir peminat Harimau Selatan mencari-cari kelibat pemain import baharu, Nicolao Dumitru yang tidak kelihatan pada foto tersebut.

Kehilangan Dumitru itu menimbulkan spekulasi baharu apabila ada yang mengesyaki bahawa pemain yang pernah bersama Nottingham Forest di England pada musim 2016/2017 itu sudah dipinjamkan ke pasukan lain.

"Dia ini ada semasa pramusim di Sepanyol, boleh jadi sudah dipinjamkan ke Liga Thailand," kata penyokong JDT, Uda_ricky28.

"Nampak memang dia ini tak diperlukan sangat. Posisi dia banyak orang boleh main," bagi peminat Harimau Selatan, Amirulsjafiq83.

WhatsApp Image 2024-05-13 at 11.22.31 AM

Dumitru berpengalaman beraksi di Eropah serta beberapa negara Asia lain. — Facebook/JDT

Selain kelab Liga Thailand, ada juga penyokong Harimau Selatan membuat andaian bahawa pemain yang pernah beraksi bersama Buriram United itu dipinjamkan ke pasukan Liga 1 Indonesia.

Sekali pun benar tindakan JDT untuk meminjamkan Dumitru ke pasukan lain, ia pasti tidak memberi kesan mendalam kepada skuad depth Harimau Selatan kerana banyak pilihan boleh digunakan di bahagian penyerang sayap kiri.

Pemain berusia 32 tahun berkenaan hadir ke JDT dengan profil yang agak mengagumkan apabila pernah menjadi salah satu tonggak skuad kebangsaan Itali Bawah 20 tahun (B-20) dan pernah bermain bersama kelab Korea Selatan bersama Suwon Bluewings. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram