Masalah teknikal VAR 'bunuh' peluang Sabah raih 3 mata


  • Podium
  • Ahad, 12 Mei 2024

Aksi Liga Super 2024/2025 menyaksikan keputusan seri tanpa jaringan dalam perlawanan Penang menentang Sabah. — Twitter/MFL

PERLAWANAN Liga Super musim 2024/2025 menyaksikan Sabah FC menentang Penang FC di Stadium Likas, Sabah berakhir dengan satu mata apabila sekadar seri tanpa jaringan.

Ia turut menyaksikan sistem bantuan video pengadil (VAR) tidak dapat digunakan kerana mengalami masalah teknikal.

Masalah tersebut sekali gus 'membunuh' peluang Sabah untuk meraih tiga mata apabila mereka sepatutnya mendapat sepakan penalti pada minit ke-77 selepas bola terkena tangan pemain import Penang, Richmond Tetteh Ankrah.

BACA LAGI: Liga Super 2024 buka tirai dalam duka, tidak ikut tradisi seperti biasa

BACA LAGI: 'Show must go on', TMJ beri mesej ringkas lepas Selangor tarik diri Piala Sumbangsih

GNX0Zq3aQAAWSl7

Keputusan kekal seri tanpa jaringan. — Twitter/MFL

Bagaimanapun, protes pemain tuan rumah tidak dilayan oleh pengadil perlawanan, Zamzaidi Katimin.

Dalam separuh masa pertama, Sabah dilihat berusaha mendapatkan gol pendahuluan menerusi trio penyerang iaitu Saddil Ramdani, Ramon Machado dan Darren Lok.

Namun usaha trio Sang Badak menemui kebuntuan apabila gagal meledak sebarang jaringan sehingga wisel penamat separuh masa pertama ditiupkan oleh pengadil perlawanan.

Bersambung separuh masa kedua, kedua-dua pasukan terus mempergiatkan serangan untuk mendapatkan gol.

Pemain import Penang, Joao Ferreira Neto hampir mendapatkan gol kemenangan buat Harimau Kumbang pada minit ke-81 tetapi percubaannya tersasar.

GNYDogLaYAAU85H

Persaingan dilihat sengit ditambah dengan masalah teknikal untuk menggunakan VAR. — Twitter/MFL

Keputusan 0-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Penang dan Sabah masing-masing menduduki tangga kelima dan keenam dengan satu mata.

Kedudukan ini bakal berubah apabila KL City FC melayan kunjungan Kuching City FC di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad.

Selepas ini, Sabah akan berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, Kelantan untuk menentang Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) pada 17 Mei.

Manakala Penang akan melayani kunjungan Terengganu FC pada 19 Mei. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram