BINTANG Selangor FC, Faisal Halim menunjukkan perkembangan positif selepas menjalani proses rawatan alograf kulit atau skin allograft.
Perkembangan tersebut dikongsikan oleh Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar selepas melawat Faisal pada Ahad sekali gus memberi bayangan bahawa tonggak Harimau Malaya bakal menjalani pembedahan seterusnya dalam masa terdekat.
Menurutnya, proses rawatan skin allograft yang dijalankan pada Khamis lalu dilihat sesuai selain tiada jangkitan kuman terhadap pemain tersebut.
BACA LAGI: Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah
BACA LAGI: Doakan Faisal Halim kembali sembuh — Isteri
Shahril berkata keadaan Faisal bertambah baik dengan proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah. — Agensi
"Keadaan Faisal bertambah baik dengan proses skin allograft juga boleh dikatakan berjaya tanpa sebarang masalah.
"Kita lihat dalam tempoh sehari dua ini bagaimana perkembangan Faisal sebelum pakar perubatan menentukan rawatan seterusnya," katanya.
Ketua Perubatan Sukan Selangor FC, Dr Muhammad Hazwan Khair sebelum ini menjelaskan bahawa tatacara rawatan dari Belgium bernilai RM30,000 itu dijangka membantu mempercepat pemulihan pemain sayap kebangsaan itu.
Sebelum ini, Faisal dilaporkan bakal menerima rawatan standard tertinggi apabila akan dirawat menggunakan skin allograft yang bernilai RM30,000.
Skin allograft dianggap sebagai standard tertinggi untuk merawat luka kebakaran kepada pesakit yang tidak memiliki kulit yang cukup untuk menutup luka terbakar di badan.
Terdahulu, Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey menjadi mangsa simbahan asid yang dipercayai berlaku di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang 5 Mei lalu.
Berikutan insiden tersebut, Mickey dilaporkan mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan itu dan baju yang dipakainya turut kelihatan cair akibat kesan bahan berbahaya itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram