[VIDEO] Lebih 30 jadi korban banjir lahar, aliran lava sejuk Gunung Marapi


  • Benua
  • Isnin, 13 Mei 2024

Orang ramai meninjau kawasan yang terjejas akibat banjir kilat yang mengorbankan sejumlah orang di Agam, Sumatera Barat, Indonesia. — Agensi

SEKURANG-KURANGNYA 34 orang terbunuh dan 16 lagi hilang di barat Indonesia, selepas terjadi banjir kilat dan aliran lahar sejuk dari salah satu gunung berapi paling aktif di kepulauan itu.

Hujan lebat berjam-jam mengakibatkan banjir di dua daerah, Agam dan Tanah Datar di wilayah Sumatera Barat pada petang Sabtu sehingga mengancam ribuan penduduk ekoran sebatian abu dan batu besar dilihat turut menuruni Gunung Marapi.

"Sehingga kini, data kami menunjukkan 34 orang meninggal dunia, iaitu 16 di Agam dan 18 di Tanah Datar. Sekurang-kurangnya 18 mangsa lain cedera. Kami juga masih mencari 16 mangsa lagi," kata jurucakap agensi bencana Sumatera Barat, Ilham Wahab.

BACA LAGI: [VIDEO] Bukan mati, lelaki ditemui terbaring mulut ternganga hanya mabuk — Saksi

BACA LAGI: [VIDEO] Kantoi intai wanita mandi, lelaki miliki lebih 10 rekod video berkemban kena cekup di Meru

Banjir Indonesia

Keadaan kawasan yang dilanda banjir kilat di daerah Agam, Sumatera Barat, Indonesia. Agensi

Menurutnya, usaha mencari membabitkan penyelamat tempatan, polis, tentera serta sukarelawan.

Dalam perkembangan sama, Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Padang, Abdul Malik memberitahu pemberita, tiga lagi meninggal dunia, namun mereka masih belum disahkan pihak berkuasa lain.

Menurut agensi mencari dan menyelamat Basarnas, daerah Agam dan Tanah Datar dilanda banjir kilat serta aliran lahar sejuk pada kira-kira pukul 10.30 malam pada Sabtu.

Lahar sejuk juga dikenali sebagai lahar campuran debu, abu, pasir dan batu kerikil yang dibawa turun ke cerun gunung berapi oleh hujan.

Kira-kira 370,000 orang tinggal di Tanah Datar yang mana beberapa masjid dan kolam awam turut rosak, selain batu besar dan pokok tumbang turut kelihatan berselerakan di atas tanah.

Sementara itu, jalan yang menghubungkan bandar Padang dan Bukit Tinggi rosak teruk serta laluan untuk kenderaan turut terputus manakala imej dari udara di Tanah Datar menunjukkan jalan raya dilitupi lumpur.

Ilham berkata, pihak berkuasa masih menerima laporan berkenaan kehilangan mangsa daripada saudara mara terdekat.

Katanya, pihaknya tidak dapat memberikan angka jumlah penduduk yang dipindahkan dari kawasan terjejas berikutan usaha mencari dan menyelamat masih tertumpu kepada mangsa serta mereka yang masih hilang.

Pada masa sama, wartawan turut melaporkan, dua trak dihanyutkan banjir dan arus deras di sungai berhampiran.

Ketua agensi bencana daerah itu, Budi Perwira Negara berkata, di Agam, yang menempatkan lebih 500,000 penduduk, berpuluh-puluh rumah dan kemudahan awam rosak, menyebabkan 90 orang dipindahkan untuk berlindung di sebuah sekolah.

Pihak berkuasa menghantar pasukan penyelamat dan bot untuk mencari mangsa yang hilang serta membawa penduduk ke pusat perlindungan.

Kerajaan tempatan menubuhkan pusat pemindahan dan pondok kecemasan di beberapa kawasan Agam dan Tanah Datar. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram