Doakan Faisal Halim kembali sembuh — Isteri


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Faisal (kanan) menyamakan kedudukan untuk Malaysia ketika berdepan Korea Selatan. — Facebook/FAM

ISTERI kepada Faisal Halim, Nur Syazwani Mizuana Shahril memohon orang ramai mendoakan kesihatan suaminya yang menjadi sasaran disimbah asid oleh dua individu tidak dikenali dalam kejadian di sebuah pusat beli-belah di Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

"Doakan agar suami saya diberikan kesembuhan," katanya ringkas ketika ditemui Majoriti.

Syazwani bagaimanapun enggan mengulas lebih lanjut apabila ditanya mengenai keadaan terkini Faisal yang dilaporkan semakin baik apabila sudah boleh makan makanan berbentuk cecair.

"Terus doakan kesihatan suami saya," ujarnya lagi.

BACA LAGI: FAM bimbang Arif Aiman jadi 'target' seterusnya

BACA LAGI: 'Kami beri love, Faisal Halim balas dengan matanya seolah tersenyum'

WhatsApp Image 2024-05-08 at 22.25.53

Syazwani (kiri) memohon orang ramai mendoakan kesihatan suaminya, Faisal. Instagram/faisalhalim.7

Pada Rabu, Majoriti melaporkan, Faisal yang juga tonggak penyerang Selangor FC masih perlu berada di bawah pemerhatian rapi untuk tempoh yang tidak diketahui.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, pemain kebangsaan itu masih perlu menjalani beberapa pembedahan lagi dengan proses pemulihan dibuat secara berperingkat.

"Insya-ALLAH, dalam masa seminggu ini, akan ada lagi. Tetapi, apabila berkata mengenai pembedahan, jangan rasa alarming kerana kesemua proses ini perlu dibuat secara berperingkat," katanya.

Sebelum ini, Faisal yang juga pemain sayap skuad kebangsaan berada dalam keadaan lebih baik selepas menjalani pembedahan kedua berikutan serangan asid dialaminya pada Ahad lalu.

Pemain berusia 26 tahun itu terdahulu menjalani pembedahan peringkat pertama pada Ahad.

Faisal yang juga dikenali sebagai Mickey mengalami kecederaan melecur tahap empat selepas disimbah dengan asid oleh individu tidak dikenali ketika berada di sebuah pusat beli belah dekat, Kota Damansara.

Dalam masa yang sama, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sempat berkongsikan keadaan terkini Faisal yang sudah memberi respons yang baik.

Saifuddin berkata, menariknya mengenai perkembangan terkini Faisal, dia tetap berusaha mahu berinteraksi walaupun dengan pandangan mata sahaja.

"Saya dapat tengok pandangan mata Faisal yang mahu berinteraksi dengan kami.

"Hannah ada beri isyarat shape love/heart yang membawa maksud ramai yang kini bersama-sama berjuang dengannya.

"Saya pula beri isyarat doa bahawa seluruh rakyat Malaysia kini bersama-sama mendoakannya. Dia akan terus kuat, Insya-ALLAH," katanya selepas ditemui di hospital pada Rabu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram