Faisal Halim kena simbah asid di pusat beli belah


  • Podium
  • Ahad, 05 Mei 2024

Pemain sayap pasukan Selangor FC, Faisal Halim menjadi mangsa serangan asid pada Ahad. — Facebook/SSFC

SELEPAS insiden samun menimpa Akhyar Rashid, kini penyerang Selangor FC, Faisal Halim ditimpa nasib malang apabila dilaporkan disimbah asid.

Insiden itu dipercayai berlaku di sebuah pusat beli belah terkemuka tanah air di Damansara pada Ahad.

Difahamkan, tonggak skuad kebangsaan itu disimbah asid selepas bermain di litar go kart di kawasan beli belah berkenaan bersama keluarganya.

BACA LAGI: Lebih 2 orang samun Akhyar Rashid — Polis

BACA LAGI: [VIDEO] Akhyar kena samun di Kuala Terengganu, dipercayai kena pukul dengan cota

Faisal Halim

Keadaan bintang Gergasi Merah, Faisal Halim selepas disimbah asid. — Facebook/SSFC

Insiden berkenaan dikongsikan oleh wartawan tanah air, Fina Nasrom di laman X.

"Baru dapat perkhabaran Faisal Halim kena simbah asid di sebuah mall terkemuka tanah air," tulisnya.

Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey itu dilaporkan mengalami kecederaan di badan, tangan dan muka akibat simbahan itu dan baju yang dipakainya turut kelihatan cair akibat kesan bahan berbahaya itu.

WhatsApp Image 2024-05-05 at 18.51.50

Keadaan baju Faisal Halim yang dipakainya turut kelihatan cair. — Facebook/SSFC

Dalam perkembangan lain, wartawan sukan, T.Avineshwaran mendedahkan bahawa Presiden Persatuan Pemain Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali turut memandang serius mengenai kejadian tersebut.

"PFAM akan mengambil langkah awal untuk membantu Faisal Halim dan mereka mengambil hal ini dengan serius.

"Pihak mereka akan mencari cara untuk membantu Faisal menempuhi trauma itu," tulisnya di X.

Sebelum ini, pemain sayap Terengganu FC, Akhyar Rashid dilaporkan mengalami kecederaan di kepala gara-gara menjadi mangsa samun.

Kejadian itu berlaku kurang seminggu selepas seorang lagi pemain kebangsaan, Akhyar Rashid disamun dalam kejadian di Terengganu pada awal minggu ini.

Pemain Terengganu pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) itu mengalami kecederaan di kepala akibat dipukul oleh suspek yang masih diburu pihak berkuasa. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram