Gunakan kelebihan import boleh jadi cara Seladang 'mengamuk' tundukkan Sang Penyu


  • Podium
  • Khamis, 09 Mei 2024

Harapan besar diletakkan di bahu skuad TBG untuk mempamerkan persembahan lebih baik dalam kempen kali ini. — Facebook/Perak FC

SEMANGAT berkobar-kobar dipamerkan penyokong Perak FC untuk menyuntik semangat terhadap pasukan itu yang pastinya mahu membuka tirai musim ini dengan langkah kanan.

Bagaimanapun, misi meraih tiga mata penuh mahupun sekurang-kurangnya satu mata adalah sukar kerana mereka bakal berdepan skuad Sang Penyu di tempat lawan.

Melihat kepada jurang antara kedua-dua pasukan, Terengganu FC mempunyai kelebihan dengan pemain lebih berkualiti serta gaya yang lebih mantap.

BACA LAGI: Tony Fernandes ada 'wealth & power' untuk pimpin FAM

BACA LAGI: Berjuta duit dah habis, masa untuk tukar pengurusan FAM?

350978815_798907121847166_4435503306451148575_n

Persembahan mantap dipamerkan skuad Sang Penyu dalam dua pertemuan dengan Perak FC. Facebook/Terengganu FC

Ini dapat disaksikan pada musim lalu apabila kelab Pantai Timur itu mencatatkan rekod 100 peratus dalam dua pertemuan dengan Perak FC dalam saingan Liga Super.

Malah, sepanjang jendela perpindahan, nama-nama besar sempat disambar finalis Piala Malaysia 2023 itu dengan Manuel Ott, Ismahel Akinade serta Safawi Rasid merupakan antara pemain dibawa masuk.

Namun, kejutan sering disaksikan dalam dunia bola sepak apabila pasukan yang kurang digeruni dapat mencetuskan kejutan ketika berdepan lawan lebih mantap.

Situasi sedemikian masih boleh disaksikan dalam pertembungan antara Terengganu FC dan Perak FC pada Sabtu ini dengan skuad The Bos Gaurus (TBG) merupakan 'underdog'.

Jadi, sekiranya mereka mahu meraih keputusan positif, terdapat tiga cara boleh ditekankan pengendali, Yusri Che Lah dalam aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu.

1. Guna kelebihan import

Berdasarkan aktiviti perpindahan kali ini, Perak FC lebih berwaspada dalam memilih pemain import untuk mengelak daripada rasa kecewa dialami musim lalu.

Luiz Henrique Motta, Clayton da Silva, Lee Tae-min dan Adillet Kanybekov merupakan nama yang disambar bagi mengisi lapan slot daripada sembilan dibenarkan.

Kesemua daripada mereka perlu dimanfaatkan untuk meraih mata penuh dengan rata-rata daripada wajah baharu sudah menyesuaikan diri dalam pasukan ketika pramusim.

439426340_445471241366590_3641350978086076919_n

Kualiti skuad TBG musim ini adalah lebih berbanding sebelum ini. Facebook/Perak FC

Berdasarkan peraturan, sesebuah pasukan boleh menurunkan sehingga enam import, termasuk satu dari Asia Tenggara dan satu dari Asia ketika perlawanan.

Jadi, berdasarkan skuad dimiliki Perak FC ketika ini, mereka boleh mengambil kesempatan itu dalam misi mencatatkan kemenangan pertama musim ini.

Gandingan mereka dengan pemain lokal berkualiti sudah cukup untuk meletakkan mereka sebaris dengan skuad Sang Penyu dalam aksi pembukaan itu.

2. Ambil pendekatan bertahan

Musim lalu, kelonggaran benteng pertahanan menyaksikan skuad TBG mencatatkan antara rekod pertahanan tercorot dalam Liga Super dengan hanya Kelantan FC dan Kelantan United dibolosi lebih banyak.

Situasi itu perlu diatasi dengan Yusri sudah tentu tahu akan pendekatan boleh diambil untuk menyelesaikan masalah yang boleh berulang berkenaan.

Penyelesaian boleh diambil seawal perlawanan pertama musim meskipun tahu bahawa Terengganu FC memiliki jentera serangan cukup berkualiti sepanjang tahun lalu.

438079174_450419310871783_8608403429584956241_n

Kemasukan Motta diharapkan dapat mengekang serangan lawan. Facebook/Perak FC

Serangan balas pantas merupakan kunci utama dalam meraih gol dengan kepantasan Clayton dan Tae-min boleh diaplikasikan dalam gerakan itu.

Selain itu, gandingan Motta dengan Jespher Nyholm dalam barisan pertahanan juga boleh membantu mengekang serangan daripada pihak lawan sepanjang 90 minit permainan.

Tetapi, dengan Yusri lebih dikenali sebagai jurulatih yang menekankan aspek serangan, terdapat kemungkinan skuad TBG mengambil pendekatan sedemikian.

3. Waspada situasi 'set piece'

Kelebihan dari segi fizikal memberikan pendekatan berbeza buat skuad Sang Penyu melancarkan serangan dengan Akinade pasti menjadi sasaran hantaran.

Jadi, sekiranya Perak FC mahu mengekang peluang itu, mereka perlu lebih berwaspada, baik ketika sepakan penjuru ataupun sepakan percuma dari mana-mana sudut.

Jika mereka dapat menyekat percubaan ketika situasi berkenaan, ia boleh membuka ruang bagi mereka melancarkan serangan atau sekurang-kurangnya memberikan masalah buat benteng pertahanan lawan.

441030302_428495696558537_6720662683492538325_n

Akinade (kiri) boleh membawa ancaman terhadap lawan ketika situasi 'set piece'. Facebook/Terengganu FC

Antara cara terbaik untuk mengelakkan masalah itu dialami, pemain Perak FC boleh mengurangkan kesilapan sehingga menghidangkan pemain lawan dengan peluang sedemikian.

Selain itu, Yusri boleh meletakkan kepercayaan penuh terhadap penjaga gol, Haziq Nadzli yang memiliki pengalaman bertahun-tahun bersama Johor Darul Ta'zim (JDT).

Bagaimanapun, kepakaran pengendali Terengganu FC, Tomislav Steinbruckner untuk mengambil pendekatan berbeza juga boleh membawa kejutan buat skuad TBG. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram