PERSIAPAN Perak FC memasuki musim baharu diteruskan dengan aksi persahabatan berdepan kelab Singapura, Albirex Niigata di laman sendiri pada Sabtu.
Seperti kebiasaan, pertembungan itu menyaksikan ribuan penyokong The Bos Gaurus (TBG) hadir untuk melepaskan kerinduan mereka terhadap pasukan berkenaan.
Kehadiran mereka dibalas dengan persembahan cemerlang apabila anak-anak buah Yusri Che Lah mudah mencatatkan kemenangan 3-1.
Rekrut baharu pasukan, Adilet Kanybekov meletakkan namanya sebagai salah seorang penjaring buat skuad TBG sementara gol Albirex Niigata disumbangkan Koki Kawachi.
Aksi dipamerkan Perak FC, terutamanya dalam kalangan pemain serangan semestinya dipuji rata-rata penyokong yang yakin akan kualiti dimiliki pasukan.
BACA LAGI: Ledak gol lawan India, penyerang muda Perak perlu diberi kepercayaan kemudi barisan hadapan TBG
Ramadhan (dua dari kanan) dijangka memainkan peranan penting buat skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Bagaimanapun, tinjauan di ruangan komen mendapati kedua-dua penjaga gol baharu, Haziq Nadzli dan Ramadhan Hamid juga sepatutnya diberikan pujian melambung.
Perasaan itu diluahkan laman penyokong, Silverstates Supporters Fan Club yang berasakan mereka mampu mewujudkan persaingan sihat dalam pasukan musim depan.
"Pada awalnya, ketika dimasukkan, Haziq bermula dengan biasa. Tetapi, apabila sudah menunjukkan aksi memukau, barulah nampak budak Johor Darul Ta'zim (JDT) ni.
"Hebat Haziq, tetapi bagi aku, Ramadhan akan menjadi calon sebagai penjaga gawang utama Perak. Apa-apa pun, persaingan hebat yang pasti menguntungkan Perak FC," tulisnya.
Pandangan berkenaan mencuri perhatian penyokong lain yang membincangkan nama paling layak untuk menjadi benteng pertahanan terakhir skuad TBG musim depan.
BACA LAGI: Dua bekas hero TBG ambil berkat Ramadan, jual nasi lemak ketika sahur di Stadium Ipoh
Haziq diharapkan mampu mengukuhkan benteng pertahanan skuad TBG. — Facebook/Perak FC
"Harap selepas liga bermula nanti, dapatlah Haziq berada dalam kesebelasan utama Perak FC. Sekurang-kurangnya, dapatlah dia minit permainan," kata Muhd Azib.
"Semoga Haziq dapat kongsikan segala ilmu dan pengalamannya untuk meminimumkan jumlah gol dibolosi skuad TBG musim ini," kata Babah Adam.
"Kalau ikut pengalaman, memang saya pilih Haziq. Tetapi, Ramadhan pun boleh tahan dalam dua aksi persahabatan setakat ini. Tidak mengapa, kita beri sahaja kepercayaan untuk Yusri buat pilihan," kata Karim Effendy.
Skuad TBG membawa masuk dua penjaga gol baharu kerana rekod pertahanan mengecewakan musim lalu yang menyaksikan mereka dibolosi sebanyak 55 kali dalam Liga Super.
Haziq dibawa masuk secara pinjaman dari JDT berdasarkan pengalaman dan kariernya sementara Ramadhan yang beraksi dengan PDRM FC musim lalu diharapkan mampu menjadi penyelesaian jangka masa panjang mereka. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram