‘Piala Sumbangsih nama sultan, jangan sesuka hati tukar jadi Piala Sumbangan'


  • Podium
  • Sabtu, 11 Mei 2024

Skuad JDT tetap hadir ke gelanggang sendiri meskipun perlawanan Piala Sumbangsih dibatalkan pada Jumaat. — Facebook/JDT

PERLAWANAN Piala Sultan Haji Ahmad Shah (Sumbangsih) antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor FC (SFC) pada Jumaat dibatalkan susulan keputusan Gergasi Merah untuk tidak hadir menyertai perlawanan terbabit.

Keputusan berkenaan dibuat Selangor selepas Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak permohonan Gergasi Merah untuk menunda perlawanan Piala Sumbangsih dengan kelab tersebut juga sudah membuat penelitian dan perbincangan terperinci dengan pelbagai pihak.

Menerusi satu kenyataan dikeluarkan MFL pada Khamis, badan pengendali liga itu mengumumkan skuad Harimau Selatan secara automatik mendapat tiga mata pertama bagi musim 2024/25.

BACA LAGI: Sedih menang dengan cara begini — TMJ

BACA LAGI: Magis 2022, kehilangan Bergson-Roonie jadi 4 momen getir pertembungan epik JDT-Selangor

Kemenangan percuma tanpa perlu berhempas-pulas itu membangkitkan pelbagai reaksi daripada penyokong bola sepak tanah air dengan ada sebahagian peminat menggelarnya sebagai ‘Piala Sumbangan’.

Ejekan daripada sesetengah penyokong itu bagaimanapun mendapat kritikan daripada peminat lain kerana dianggap seperti tidak menghormati reputasi piala berprestij berkenaan.

“Nak marah boleh tapi jangan suka hati nak mainkan nama Piala Sumbangsih. Piala Sumbangsih kan diambil dari nama sultan,” kata penyokong domestik, King Shahrul.

“Sedih tengok dah ada penyokong yang mainkan nama Piala Sumbangsih. Nak marah boleh tapi jangan mempersenda,” pendapat penyokong Hamzdan Hairel.

“Tahukah anda, kejohanan Piala Sumbangsih telah dijenamakan semula menjadi Piala Sumbangan,” komen penyokong Hasif Ahmad Kids Bundle, antara yang turut mempersenda nama kejohanan berkenaan.

Dalam pada itu, pemilik JDT dan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, mengakui rasa sedihnya walaupun JDT mengekalkan kejuaraan Piala Sumbangsih musim ini.

Ia susulan Harimau Selatan diberikan kemenangan percuma selepas Selangor FC menarik diri daripada aksi perebutan trofi itu yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor pada Jumaat.

Tunku Ismail yang sinonim dengan panggilan TMJ meluahkan kesedihannya menerusi satu komen di laman Instagram kelab itu, apabila skuad kendalian Hector Bidoglio diputuskan sebagai pemenang tanpa perlu beraksi di atas padang.

Sebelum itu, JDT telah memuat naik gambar skuad Harimau Selatan bersama TMJ di Stadium Sultan Ibrahim di laman sosial rasmi kelab, dengan kapsyen: "Kami di sini! Piala nombor 27."

TMJ menerusi satu komen di laman Instagram kelab itu meluahkan kesedihan apabila skuad kendalian Hector Bidoglio memenangi Piala Sumbangsih musim ini tanpa beraksi di atas padang.

"Satu lagi (piala). Sedih menang dengan cara begini, tetapi rezeki adalah rezeki. ALLAH sebaik-baik perancang," tulis TMJ. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram