PENYERANG prolifik Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson da Silva sering menggembirakan hati penyokong dengan ledakan golnya untuk membantu Harimau Selatan meraih pelbagai anugerah di saingan domestik dan juga persada antarabangsa.
Selain gol-gol cantik yang sudah dicetaknya untuk juara Liga Super 10 kali berturut-turut berkenaan, karakter penyerang kelahiran Brazil tersebut juga sering mencuri tumpuan penyokong Harimau Selatan.
Telatah Bergson sebelum ini yang gigih bertutur dalam bahasa Melayu sememangnya mencairkan hati penyokong dengan ramai pemain ke-12 memuji usahanya untuk cuba berkomunikasi dalam bahasa ibunda tanah air.
Usaha Bergson untuk belajar bahasa Melayu tidak berhenti dengan sekadar ucapan ‘terima kasih’ sahaja, malah penyerang berusia 33 tahun itu juga didapati mencuba melafazkan pantun.
Menerusi video ucapan Aidilfitri yang dikeluarkan JDT pada media sosial rasmi mereka, menyaksikan pemenang Kasut Emas Liga Super dua berturut-turut pada 2021 dan 2022 itu belajar berpantun dari penjaga gol, Farizal Marlias.
BACA LAGI: Rekod gol kurang cantik, Wan Jamak tahu alasan Nafuzi bawa Milos Gordic ke Sang Kenari
BACA LAGI: [VIDEO] Identiti penjaga gol bertopeng JDT cetus tanda tanya, GK Filipina jadi sebutan
Walaupun pertama kali mempelajarinya namun pantun empat kerat yang dilafazkan Bergson menerima pujian daripada penyokong Harimau Selatan. Malah, penyerang itu turut berpuas hati dapat mencuba tradisi orang Melayu itu.
“Bagus,” katanya ringkas di laman Insta Story pada Rabu sambil memberi ucapan Aidilfitri kepada peminatnya.
Selain Bergson, video ucapan Hari Raya dari JDT itu juga menampilkan Corbin Ong dan Murilo Henrique yang turut mencuba melafazkan pantun bersama beberapa pemain tempatan lain seperti Syihan Hazmi, Shahrul Saad dan Syahmi Safari.
Berbeza dengan Bergson, Murilo pula agak sedikit janggal untuk bertutur bahasa kebangsaan susulan musim ini adalah tahun pertamanya beraksi di Malaysia selepas diumumkan sebagai import baharu JDT pada awal musim ini.
Oleh itu, ada penyokong JDT meminta Murilo untuk bermain dalam tempoh yang lama bersama JDT jika ingin mengikut jejak langkah Bergson yang semakin serasi dengan budaya Malaysia.
Selepas tiga tahun berkelana di bumi Finland bersama pasukan seperti SJK Seinajoki dan HJK Helsinki, Murilo memilih Harimau Selatan untuk mengembangkan lagi kerjayanya dan ia adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di Asia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram