'One to watch', Faiz Nasir, 'Hulk JDT' antara 3 pemain bersinar aksi pramusim Liga M


  • Podium
  • Ahad, 31 Mac 2024

Faiz (kanan) dipercayai mempunyai keupayaan menyambar peluang di depan gawang lawan untuk menjadi mesin pencetak gol skuad Hijau Kuning.

KIRA-KIRA sebulan lagi saingan Liga Malaysia (Liga M) akan menemui penyokong domestik dan penantian menghitung hari sebelum pertandingan pertama dimulakan iaitu pada 3 Mei 2023, para peminat akan dihiasi dengan kempen pramusim.

Walaupun hanya sebilangan kecil kelab yang sudah melaksanakan kempen pramusim namun tindakan awal mereka mendapat pujian daripada penyokong sendiri kerana ia adalah cara sesuai untuk mencari kesebelasan utama terbaik pasukan.

Pasukan seperti Perak FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Negeri Sembilan FC (NSFC) antara yang sudah melakukan beberapa perlawanan persahabatan dalam siri pramusim mereka.

Persembahan dari perlawanan persahabatan berkenaan juga dijadikan sebagai kayu ukur untuk menilai prestasi awal wajah baharu sama ada mereka bakal jadi pemain tumpuan yang memberi pulangan ataupun sekadar menghiasi senarai pemain.

Mengambil kira beberapa aksi persahabatan yang melibatkan beberapa pasukan, terdapat tiga pemain mencuri tumpuan penyokong dan boleh dilabel sebagai 'one to watch' untuk saingan musim baharu ini;

BACA LAGI: Bakal dibuka untuk Piala Sultan Selangor, ada cadangan jadikan Stadium Merdeka gelanggang rasmi HM

1) Faiz Nasir

WhatsApp Image 2024-03-30 at 9.45.33 PM

Perpindahan Faiz ke Kedah merupakan pertemuan semulanya bersama Nafuzi Zain.

Gara-gara kurang berpeluang untuk mengumpul minit permainan yang banyak, Terengganu memutuskan untuk meminjamkan Faiz Nasir ke KDA FC bagi membantu menghadapi saingan musim 2024/2025.

Walaupun di awal kemunculan Faiz dilabel sebagai salah seorang pemain tengah terbaik TFC sehingga dilabel 'Messi Terengganu' namun kariernya semakin malap pada tahun lepas sehingga terpaksa beraksi dengan pasukan lain.

Ibarat titik tolak ke arah perubahan positif dalam perjalanan kariernya, nama pemain bertubuh kecil itu kembali disebut oleh barisan penyokong dengan dia dijangka berhasil mengembalikan prestasi terbaiknya musim ini.

Pada kempen pramusim menentang Penang FC Bawah 23 (B-23) tahun yang menyaksikan Kedah menang 4-0, Faiz diibaratkan mempunyai dua jantung oleh penyokong kerana kerajinannya membantu bahagian depan dan belakang skuad Hijau Kuning.

BACA LAGI: Rekod gol kurang cantik, Wan Jamak tahu alasan Nafuzi bawa Milos Gordic ke Sang Kenari

2) Adilet Kanybekov

adilet

Adilet pernah diberi kepercayaan untuk menjadi kapten skuad B-23 Kyrgyzstan. — Instagram/Adilet Kanybekov

Bagi memantapkan lagi jentera tengah pasukan, Perak FC membawa masuk pemain import kelahiran Kyrgyzstan, Adilet Kanybekov dengan khidmatnya akan dipadangkan dengan Luciano Guaycochea.

Adilet yang juga mampu beraksi di posisi bek tengah itu sebelum ini menyertai Neftchi Kochkor-Ata dalam saingan teratas Kyrgyzstan dan menyumbang empat gol serta 11 hantaran bantuan dalam 61 penampilannya.

Pemain tengah berusia 22 tahun itu dilihat mempunyai kualiti yang cukup baik dalam mengatur gerakan pasukan terutamanya ketika melakukan hantaran ke bahagian serangan dan sayap.

Gerak-geri Adilet sudah disaksikan secara langsung ketika kemenangan 3-0 ke atas wakil Singapura, Geylang International dan satu jaringan gol dari pemain itu menambah keyakinan penyokong terhadap persembahannya selepas ini.

3) Murilo Henrique

jdt hulk

Murilo Henrique juga mampu berperanan selaku pemain sayap kiri pasukan. — Facebook/JDT

Selepas tiga tahun berkelana di bumi Finland bersama pasukan seperti SJK Seinajoki dan HJK Helsinki, Murilo Henrique memilih Harimau Selatan untuk mengembangkan lagi kerjayanya dan ia adalah kali pertama dia menjejakkan kaki di Asia.

Kehadiran pemain kelahiran Brazil berkenaan diharapkan dapat memberi persaingan sihat kepada bek kiri pertahanan negara, La'Vere Corbin-Ong yang selama ini banyak dipertaruhkan sebagai pemain utama di bahagian berkenaan.

Corbin Ong yang sudah pun berusia 32 tahun, bakal segera digantikan dengan tenaga baharu dalam tempoh terdekat sebagai persediaan jangka masa panjang pasukan itu untuk terus maju ke hadapan.

Kehilangan Corbin untuk tugasan negara membuatkan pemain berusia 28 tahun berkenaan diturunkan dalam kempen pramusim menentang Police Tero dan Chonburi FC dan difahamkan menggalas tanggungjawab berkenaan sehingga dilabel sebagai 'Hulk JDT'. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram