SEBANYAK 21 negara mengesahkan slot untuk menyertai perlawanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 akan berlangsung di Stadium Titwangsa, Kuala Lumpur bermula 18 hingga 26 Mei nanti.
12 negara akan bersaing dalam kategori Premier termasuk Malaysia, Thailand, Indonesia dan Jepun, manakala sembilan negara berentap dalam Divisyen 1 dibarisi antaranya Iran, Jerman, Arab Saudi dan Pakistan.
Pemain sepak takraw berpengalaman, Farhan Adam yang diberi kepercayaan menggalas tugas sebagai kapten skuad kebangsaan berharap rakan-rakan dapat memberikan yang terbaik untuk sekurang-kurangnya mara ke final.
BACA LAGI: Tiada pemain kebangsaan tersenarai kejohanan di Indonesia — Kim Swee
BACA LAGI: Ambil langkah berjaga-jaga, PSM utamakan keselamatan elak insiden pemain bola berulang
Farhan (tengah,jersi oren) menggalas tugas sebagai kapten skuad kebangsan perlawanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — Facebook/PSM
"Persiapan pasukan buat masa ini berjalan dengan baik dan semua pemain berada tahap yang bersedia untuk menghadapi kejohanan Piala Dunia tersebut," katanya kepada Majoriti.
Ditanya mengenai sasaran pasukan negara dalam kejohanan tersebut, apit kiri berusia 35 tahun itu mahu memastikan trofi Piala Dunia menjadi milik Malaysia.
"Memang satu kemestian untuk kami berada di final, Insya-ALLAH kami akan dapat capai sasaran.
"Kalau ikut jadual memang kita dapat elak untuk bertemu Thailand di peringkat awal dan sebagai tuan rumah kami akan memastikan penyokong tidak hampa dengan permainan kami," jelasnya lagi.
Menurut Farhan, dia secara peribadinya memasang impian besar untuk menjulang trofi Piala Dunia di hadapan peminat tanah air sebelum menamatkan kariernya sebagai pemain sepak takraw negara.
"Semua pemain ada kekuatan masing-masing dan kami memang mengimpikan piala tersebut.
"Mungkin kalau ada lagi kejuaraan seperti ini di masa akan datang, mungkin saya tidak dapat bermain lagi dan ia adalah harapan peribadi saya sendiri untuk dicapai," katanya.
Farhan selaku kapten skuad negara impi julang gelaran Piala Dunia Sepak Takraw 2024. — Facebook/PSM
Di samping itu, Farhan turut berkongsikan bahawa kehadiran wajah-wajah baharu dalam skuad negara sememangnya memberi suntikan yang baik.
"Meskipun ramai muka-muka baharu tapi permainan mereka berada dalam tahap yang baik, tidak jauh beza dengan pemain senior.
"Dengan bantuan pemain baharu, kami sebagai pemain senior sememangnya memerlukan bakat muda ini bagi mengimbangi acara regu terutamanya," kongsinya.
Pasukan negara yang diketuai Farhan itu turut dibarisi Mohammad Syahir Mohd Rosdi, Muhammad Zarif Marican Ibrahim Marican, Zuhri Muhammad Zain, Muhammad Haziq Hairul Nizam dan Muhammad Syahmi Hussin selaku tekong.
Apit kanan atau 'killer' pula dibarisi Mohamad Azlan Alias, Muhammad Noraizat Mohd Nordin, Muhammad Shahalril Aiman Halim, Muhammad Redwan Hakim Muhammad, Baihakki A'rippin dan Muhammad Fetri Mohd Azwani.
Skuad kendalian Ahmad Jais Baharun itu membariskan Amirul Zazwan Amir, Farhan, Aidil Aiman Azwani, Muhammad Zaim Razali dan Norfaizzul Abd Razak untuk menggalas tugas di bahagian 'feeder'. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram