Musim penuh drama, Faisal Halim antara 4 pemain dibayangi kontroversi luar padang


  • Podium
  • Selasa, 10 Okt 2023

Faisal Halim (kanan) merupakan antara pemain terpalit kontroversi hangat yang mengundang perhatian pemerhati bola sepak tanah air.

KANCAH bola sepak liga tempatan tidak pernah sunyi daripada sebarang isu hangat serta masalah luar padang membabitkan pemain tempatan.

Meskipun memiliki rekod cemerlang bersama kelab masing-masing, namun ia masih belum cukup untuk membuatkan seseorang individu itu dijadikan sebagai idola oleh pelapis muda negara dengan kemelut luar yang sentiasa membelenggu karier mereka.

Bukan kali pertama isu luar padang dijadikan topik perbualan penyokong, namun musim 2023 lebih berbeza daripada yang sebelumnya dengan imej bola sepak tanah air sedikit tercalar apabila ada beberapa kontroversi melanda pemain tempatan.

Berikut merupakan empat pemain yang memiliki isu luar padang pada musim ini.

badd

1. Baddrol Bakhtiar

Bekas penyerang pasukan Sabah FC, Baddrol Bakhtiar pernah mencetuskan kekecohan dalam kalangan peminat susulan keputusannya yang mahu terjun ke bidang politik negara.

Bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Julai lalu, aksi terakhir pemain kelahiran Kedah itu adalah ketika membantu The Rhinos membelasah Sri Pahang FC 4-0 di Stadium Likas, Sabah.

Namun, peninggalannya masih meninggalkan 1,001 persoalan terhadap penyokong tentang masa depan pemain itu di Sabah pada masa akan datang.

Tidak menyatakan sebarang keputusan untuk 'menggantung' but ataupun bersara daripada arena bola sepak negara, kelibatnya bersama The Rhinos sentiasa dinantikan ramai dengan pengaruhnya bersama Sabah semakin menunjukkan peningkatan dalam kalangan peminat tempatan.

faii

2. Faisal Halim

Penyerang sensasi Selangor FC lebih dikenali sebagai Mickey menerima tamparan hebat apabila dikenakan penggantungan daripada aktiviti bola sepak akibat komen yang dikeluarkannya sebelum ini.

Kenyataan yang dibuat selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC pada 27 April lalu menyaksikan pemain berkenaan seakan-akan menyalahkan segelintir pihak mengenai kebangkitan yang cuba dilakukan skuad Gergasi Merah.

Mengundang perhatian sebilangan peminat serta badan induk Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Faisal akhirnya dikenakan hukuman secara automatik selama sebulan yang sekali gus mengakibatkan dia ketinggalan lima perlawanan.

Kapten skuad kebangsaan itu akan dinilai selama setahun untuk mengenal pasti sekiranya dia akan diberikan penggantungan lanjutan selama tiga bulan.

kla

3. Lee Tuck

Pemergian pemain naturalisasi negara ini ke United Kingdom mencetuskan tanda tanya ramai yang menganggap dia sudah tidak lagi berminat untuk mewakili Harimau Malaya terutamanya dalam saingan Piala Asia 2023 yang semakin hampir.

Fokus Lee Tuck kini tertumpu ke arah penglibatan luar bola sepak dengan dia kini merupakan seorang ejen dalam bidang hartanah apabila memiliki syarikat sendiri yang dikenali sebagai Unified Properties.

Diusahakan bersama-sama isterinya iaitu Georgia Tuck, perniagaan yang dikendalikan mereka adalah gabungan kepakaran dalam bidang pembinaan serta hartanah.

Namun, perkara itu mengundang perbalahan sesama peminat yang mula menggesa agar kerakyatan pemain itu ditarik semula susulan dia kini tidak lagi bergelar sebagai pemain bola sepak profesional.

Walaupun belum mengumumkan sebarang persaraan daripada bola sepak, tetapi Lee Tuck kini sudah mula menjauhkan diri dan menceburi bidang lain untuk mencari rezeki dengan usianya yang kini menginjak ke angka 35 tahun, adalah tipis untuk melihat pemain tengah ini kembali beraksi di padang.

rizal

4. Rizal Ghazali

Arena bola sepak negara digemparkan dengan berita pemain bola sepak Liga Super itu ditahan pihak polis selepas dipercayai menyebabkan kecederaan terhadap bekas teman wanitanya, Hani Farhana Hasrul Sani.

Perkara tersebut berlanjutan sehingga ke muka pengadilan apabila pemain kebangsaan itu didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor pada 19 Jun lalu terhadap pertuduhan memukul dan merosakkan telefon bimbit milik teman wanitanya di sebuah bilik hotel.

Perkara itu nyata satu situasi sukar diterima peminat The Rhinos dengan aksi cemerlang pemain itu di atas padang sentiasa menyumbang kemenangan kepada skuad Sabah.

Susulan pertuduhan yang dihadapi, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara setahun atau denda RM2,000 dan Seksyen 427 kanun sama memperuntukkan hukuman tiga bulan penjara atau denda. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram